Seorang lelaki dipercayai pelajar sekolah menengah dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh kenderaan dalam kemalangan.
Menurut sumber, kemalangan itu berlaku di Jambatan Tasek Pauh, Pasir Puteh, Kelantan sebelum waktu maghrib.
Berdasarkan video viral di media sosial, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai tidak memakai topi keledar, dilihat sedang berlumba di sebatang jalan yang lurus bersama beberapa rakan yang lain.
Mangsa menunggang di laluan bertentangan dan akibatnya dirempuh sebuah kereta sedan yang tidak mengelak motosikal mangsa.
Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa melambung tinggi ke udara sebelum terjatuh dan terhempas di jalan raya.
Motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian depan dan mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri.
Menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana perbuatan itu hanya akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.