Bapa didakwa atas 41 pertuduhan merogol anak kandung di rumah & kawasan hutan Bukit Antarabangsa


Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, atas 41 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya selama 10 bulan lalu. 


Bagaimanapun, tertuduh yang juga pengusaha sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan anak perempuannya berusia 15 tahun 11 bulan di mana perhubungan antara kedua-duanya tidak dibenarkan mengikut hukum agama. 


Tertuduh, 42, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dan kawasan hutan di Bukit Antarabangsa dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu. 


Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibacakan bersama Seksyen 16 (1) akta sama. 


Tertuduh kemudian membuat rayuan pada mahkamah untuk membenarkan dia diikat jamin kerana dia perlu menguruskan syarikat, menjaga kebajikan pekerjanya dan perlu menjaga seorang adik dan tiga kakaknya yang menghidap kanser tahap tiga. Selain itu, tertuduh juga berkata dia perlu menjaga isteri dan anak-anaknya di musim Covid-19 ini. 


Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa pula tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana bimbang lelaki itu akan melarikan diri sehingga tidak dapat dikesan dan selain mengganggu anak kandungnya itu. 


Hakim Nor Hazani Hamzah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes, bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. 


Terdahulu media melaporkan mangsa ditemui bersendirian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 1 November 2020 oleh polis dan kemudian menceritakan perbuatan keji bapanya yang telah merogol dia secara berterusan setiap minggu, tanpa pengetahuan sesiapa. 


Suspek selalu merogol mangsa setiap awal pagi, ketika ahli keluarganya sudah tidur. Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalamu trauma dan tertekan, pernah cuba membunuh diri dengan meminum cecair pencuci lantai pada Jun 2020, tetapi insiden itu tidak dilaporkan kepada polis. 


Ibu bapa mangsa telah bercerai sejak 2004 sebaik mangsa dilahirkan. Mangsa tinggal bersama ibunya tetapi hanya seketika selepas bapanya diberi hak penjagaan, meskipun suspek mempunyai rekod kes jenayah lampau yang membabitkan kes rogol sumbang mahram yang membabitkan adik iparnya, 2004, 


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN