'Bila suami bawa pulang bercuti di kampung dia, saya jadi semakin penat' - Isteri kesal, suami pentingkan diri


Realiti sebenar kehidupan berumah tangga, ada yang manis dan sebaliknya. Bacalah sekadar untuk pengetahuan dan buanglah yang keruh, ambillah yang jernih. Setiap masalah, ada jalan penyelesaian. 


SAYA nak luah sikit sebab saya tak tahu nak luah dekat siapa. Suami kerja kerajaan, kalau mohon cuti tu akan dapat smeinggu. Tetapi setiap kali cuti itu, mesti balik ke kampung dia.


Sebenarnya badan saya terlampau penat. Saya suri rumah 24 jam menguruskan rumah dan anak. Bila suami cuti, saya kadang-kadang nak ajak bercuti di dalam negara tetapi susah sangat. Duit ada dan saya tahu sekarang musim Covid-19. Tetapi dari sebelum Covid lagi, bila suami mohon cuti, dia terus kata nak balik kampung. Saya sebagai isteri tak boleh kata apa. Mak dia pula selalu call dan tanya bila cuti. 


Saya bukan apa, bila balik kampung dia, badan saya lagi penat sebab? Faham-fahamlah sendiri. Kita menanti kena buat kerja, bangun awal pagi. Di sebelah malam kalau masuk bilik awal sangat, kena mengata pula. 


Adik beradik suami ramai, ipar duai pun ramai. Bila basuh baju tu, tak berhenti-henti dan bila angkat pakaian, bertimbun tiada sesiapa yang lipat. Saya rasa balik kampung lagi penat. Saya ada anak kecil yang fully menyusu badan. 


Pernah saya sidai kain, kakak ipar tegur laaa ingatkan adik dia yang sidai. Selepas itu mak mentua saya kata, tak kiralah siapa, nampak sikit buat kerja. Terasa sangat saya. 


Suami cuti, saya nak la rehat sikit tetapi bertambah penat. Sebenarnya saya sakit, memang tak boleh penat sangat. Saya sidai kain tengah panas, banyak kain yang saya sidai. Bila masuk rumah, sakit sangat di bahagian kepala sampai muntah terus. 


Mereka semua tahu saya sakit, tetapi buat tak kisah. Nak kita buat kerja macam orang sihat. Raya pun asyik balik kampung suami juga. Saya ada je mak dan ayah lagi. Tapi alasan mak mentua tak apa, dekat selalu balik. Padahal dia tak tahu kalau balik pun sehari berulang alik. Kadang-kadang dua bulan belum tentu balik. Nak balik pun kena tempuh tiga jam barulah sampai. 


Sumber: Kisah Rumah Tangga