Penutupan sekolah di saat akhir menyukarkan banyak pihak - Maszlee


Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mendakwa, tindakan Kementerian Pendidikan menutup sesi persekolahan di seluruh negara menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak termasuk ibu bapa kerana gagal mengambil kira pelbagai aspek. 


Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, pelbagai masalah dan persoalan yang timbul ekoran pengumuman tersebut apabila ibu bapa terpaksa menanggung kos pembelian tiket dan tambang perjalanan, apatah lagi melibatkan 2.4 juta keluarga miskin. Selain itu, ibu bapa juga terpaksa mencari jalan untuk merentas negeri mengambil anak-anak mereka yang menunggu di asrama. 


"Mengapa pengumuman penting dibuat secara tiba-tiba? Kedua, apakah status guru duka lara yang telah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing? Selama ini mereka terpaksa tanggung beban membeli tiket berkali-kali akibat pengumuman saat akhir. 


"Adakah dibenarkan kembali bersama setelah berbulan-bulan tidak bersua terutama mereka terpaksa berulang alik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung?" katanya memetik laporan dari portal Sinar Harian, Isnin, 9 November 2020. 


Selain itu, Maszlee turut mempersoalkan perancangan alternatif kerajan dalam memastikan 36.9 peratus murid yang tiada peranti di rumah tidak ketinggalan ketika rakan-rakan yang lain melaksanakan kelas secara online bersama guru. 


Dalam pada itu, Maszlee berkata dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada Kementerian Pendidikan untuk mempermudahkan sebarang urusan dan juga memastikan bukan sekadar nyawa anak-anak yang boleh diselamatkan, tetapi juga masa depan pendidikan mereka.