Sami menang tiket loteri RM2.4 juta, lari selepas ramai 'pengemis' serbu tokong


Seorang sami di Thailand yang memenangi tiket loteri sebanyak 18 juta Bath (RM2,418,738) bertindak melarikan diri ke lokasi yang tidak diketahui selepas ramai yang datang ke tokongnya untuk meminta sumbangan. 


Ajahn Montri Samujjo, seorang sami berusia 67 tahun di Wat Thinnakorn Nimit di wilayah Nonthaburi, Thailand, menang tiga tiket loteri bernilai 6 juta Baht (RM807,480) semasa undian pada Ahad lalu. 


Menurut laporan Nextshark, Montri yang juga dikenali sebagai Sami Piak, sebelum itu sedang berjalan di kuil ketika penjual tiket loteri menghampirinya dan bertanya apakah dia dapat membeli baki tiket loteri yang tinggal selepas dia tidak dapat menjualnya. 


Bersimpati dengan keadaan lelaki itu, Montri meminjam 2,000 Baht (RM267.38) dari rakan-rakan sami yang lain untuk membantu lelaki berkenaan. 


Apabila tiba pada hari pengundian, Montri terkejut apabila mendapati tiga tiket loteri yang dibelinya itu berjaya memenangi nombor loteri. Montri kemudian memberi 1 juta Baht (RM134,511) setiap seorang dari tiga anaknya dan sebahagian didermakan kepada tokong dan kepada mereka yang memerlukannya. Sementara, baki disimpan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan di masa akan datang. 


Berita kemenangannya itu tersebar meluas di media sosial. Hasilnya, ramai yang datang ke tokong tersebut untuk meminta sumbangan. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal dan menyebabkan Montri tidak dapat tidur dengan lena di waktu malam. 


Penolong ketua sami, Sitthi Woradi mengesahkan, Montri sudah tidak tinggal di tokong mereka setelah dia meminta untuk dipindahkan ke tokong di lokasi yang tidak dinyatakan. 


"Dia dah pergi ke tempat lain, tolong jangan ke sini lagi. Ini sangat mengganggu dan mencetuskan huru hara di kalangan sami," kata Sitthi kepada media tempatan.