Lelaki Bangla dilanggar sampai mati kerana tegur suspek bercakap terlalu kuat di telefon


Polis Johor sedang memburu seorang lelaki rakyat Indonesia dikenali dengan nama ‘Amir’ (gambar kecil) bagi membantu siasatan kes gaduh sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki di tapak pembinaan perumahan Taman Kenari, dekat Segamat, dua hari lepas.


Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis menahan tujuh lelaki Indonesia dan seorang lelaki Myanmar berumur antara 29 dan 53 tahun yang terlibat dalam pergaduhan antara kumpulan pekerja lelaki warga Bangladesh dan Indonesia itu.


“Selepas mendapat maklumat, polis daerah Segamat bertindak ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki rakyat Bangladesh berumur 30 tahun cedera ditikam, manakala seorang lagi lelaki kerakyatan sama, berumur 44 tahun meninggal dunia akibat dilanggar kereta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata pergaduhan dipercayai berpunca daripada teguran mangsa terhadap salah seorang suspek warga Indonesia yang dikatakan bercakap dengan kuat semasa menggunakan telefon bimbit sehingga mengganggu rakan-rakannya yang sedang tidur.


Katanya dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, suspek kemudian memanggil rakan-rakannya untuk menyerang kumpulan itu sehingga menyebabkan seorang lelaki dilanggar dengan kereta, seorang lagi ditikam dengan pisau pemotong sayur dan seorang lagi dibaling batu di kepala.


“Selain penahanan tujuh lelaki Indonesia dan seorang lelaki Myanmar itu, polis turut menemui kereta Proton Gen 2 berwarna perak di tapak pembinaan berkenaan yang dipercayai digunakan suspek yang masih bebas (Amir),” katanya.


Ayob Khan berkata ‘Amir’ yang berumur 25 tahun itu berketinggian kira-kira 165 sentimeter dan berkulit sawo matang.


Katanya lelaki yang cedera ditikam kini dirawat di hospital, dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan Seksyen 324 akta sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata.


Kesemua yang ditahan kini direman sehingga 8 Nov ini dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Norisyah Abd Rahim dengan menelefon 019-6507299, atau 07-9312222 bagi membantu siasatan.


Sumber: Bernama