'Pergelangan tangan mangsa mungkin dipotong ketika dia masih hidup' - Polis


Penelitian video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian setakat ini menunjukkan suspek utama keluar dari rumah mangsa, Siti Nur Surya, 19, yang dibunuh dengan kejam sehingga pergelangan tangannya dipotong sehingga putus. 


Pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada kejadian itu dilakukan oleh suspek yang juga rakan mangsa berseorangan atau dibantu oleh individu lain. 


"Setakat ini, kita tidak boleh sahkan sama ada suspek ada rakan jenayah yang lain atau sebaliknya kerana siasatan masih di peringkat awal. 


"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis untuk membantu siasatan," kata Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud. 


Siasatan awal pihaknya setakat ini mendapati, kes pembunuhan itu berlaku disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan selalu mengejek tentang kehidupan keluarganya yang miskin, kerana ibunya hanya bekerja sebagai seorang tukang cuci, manakala bapanya pula bekerja kampung berbanding kehidupan keluarga mangsa yang agak senang. 


Suspek juga mendakwa mangsa suka mengejek dengan mengatakan dia tidak cantik berbanding dirinya dan disebabkan itu suspek masih tidak mempunyai teman lelaki seperti dia, membuatkan suspek sering terasa tetapi memendam kemarahannya.


Mohd Adli berkata, pihaknya juga percaya mangsa masih hidup ketika pergelangan tangannya dipotong sebelum lehernya ditikam dengan pisau sama yang menjadi punca kematiannya, berdasarkan penemuan kesan tusukan pada leher mangsa dan beberapa kesan kecederaan lain. 


Selain itu, polis juga menemui beberapa helaian rambut di dalam genggaman mangsa yang dipercayai berlaku pergelutan di antara mangsa dengan suspek. Polis kini sedang menunggu keputusan ujian asid deoyxribonucleic (DNA) sama ada ia milik suspek atau bukan. 


Sumber: Sinar Harian


LAPORAN BERKAITAN DENGAN KES PEMBUNUHAN SITI NUR SURYA