'Tak timbul isu takut mati' - Dr Noor Hisham jawab tuduhan MP Bintulu


Susulan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu yang menuduh Ketua Pengarah Kesihatan tak turun ke Sabah melawat dan memberi sokongan kepada frontliners kerana takut mati, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tampil menjawab tuduhan itu dengan tenang. 


Beliau berkata, tidak timbul langsung isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini. 


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah membuat perancangan khusus untuk Sabah dan beliau sendiri telah pergi ke Sabah pada akhir Ogos lalu bagi melihat sendiri pengurusan dan kesiapsiagaan KKM terutamanya bagi Pilihan Raya Negeri Sabah. 


"Saya juga telah arahkan timbalan saya Datuk Dr Chong Chee Kheong untuk turun bersama minggu lepas. Tan Sri Jemilah Mahmood (Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam) juga turun dua minggu lepas untuk melihat pengurusan dan isu-isu di Sabah.


"Tidak timbul isu kita takut mati. Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian itu boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang ataupun tidak," katanya. 


Sementara itu, Tiong King Sing menjelaskan dia tidak mempunyai niat jahat terhadap Dr Noor Hisham ketika mengeluarkan kenyataan itu di Dewan Rakyat semalam. 


Sebaliknya, dia hanya menyuarakan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kerajaan dalam memberi respons terhadap pandemik Covid-19. 


"Ramai yang bertanya-tanya mengapa ketua pengarah tidak boleh mengunjungi kawasan wabak untuk memberikan laporan langsung mengenai keadaan sebenarnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan perdana menteri secepat mungkin.


"Daripada mengadakan sidang media harian itu, dia harus fokus sepenuhnya pada tugas mencegah wabak dan menyerahkan maklumat terkini kepada menteri pertahanan kanan," katanya.


Sumber: Bernama, MalaysiaKini