(Video) 2 lelaki tetak mangsa guna parang diburu polis


Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menetak seorang lelaki menggunakan parang hingga menyebabkan kecederaan di hadapan sebuah restoran di Buntong di sini petang tadi.


Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa mangsa yang berusia 44 tahun itu, pada kira-kira 2.09 petang.


"Kedua-dua suspek lelaki disyaki menaiki kereta jenis Perodua Viva berwarna putih.


"Pegawai penyiasat telah pergi ke tempat kejadian bersama pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sebaik menerima panggilan mengenai kejadian itu bagi menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan.


Katanya pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.



Sumber: Bernama