5 staff MOF didakwa terima tawaran rasuah untuk percepatkan proses permohonan baharu 5 syarikat


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, 2 Disember 2020, menjatuhkan hukuman denda RM1,500 dan RM2,000 terhadap lima kakitangan awam selepas mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa bagi pendaftaran akaun baharu e-Perolehan.


Lima kakitangan berkenaan yang bertugas di Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan (MOF) didakwa melakukan kesalahan menerima tawaran rasuah berjumlah RM200 hingga RM600 untuk mempercepatkan proses permohonan baharu dan taraf Bumiputera lima syarikat melalui sistem tersebut. 


Tertuduh, Nurul Ashikin Zulkaflee (Pemb. Tadbir Kewangan), 33, Siti Nurkhairunnisa Adnan (Penolong Akauntan), 32, Mohd Fairus Hussin (Penolong Pegawai Tadbir), 38, Madiyana Mamat (Penolong Akauntan), 39, dan Azad Fadhmi Abdul Rahman (Penolong Akauntan), 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Manira Md Noor. 


Hakim menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Nurul Ashikin dan Azad Fadhmi, manakala Nurkhairunnisa, Mohd Fairus dan Madiyana didenda RM2,000. 


Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa ditawarkan suapan antara RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses permohonan baharu bagi beberapa buah syarikat melalui sistem e-Perolehan di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan, MOF, Putrajaya antara Mei 2018 hingga Jun 2020. 


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), jika bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau tidak melebihi 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 


Hakim Manira berharap, hukuman denda itu dapat memberi pengajaran kepada semua penjawat awam agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah. Meskipun jumlah yang diambil agak sedikit, tetapi ia boleh menjadi punca kepada permulaan masalah. 


"Saya harap kamu insaf selepas ini. Dengan jumlah kecil itu, jangan dianggap bukan kesalahan. Ia adalah kesalahan yang besar, pada masa akan datang. Mahkamah berharap hukuman ini memberi satu penginsafan kepada semua," katanya. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhammad Aizat Fakri. 


Sumber: Harian Metro