Bunuh penyamun, 3 beranak bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup


Seorang bapa dan dua anaknya bakal berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau seumur hidup atas tuduhan membunuh. 


Ketua Polis Daerah Simalungun (Indonesia), Agus Waluyo berkata, pihaknya menahan enam suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang penyamun. 


Enam yang ditahan itu adalah tiga beranak berusia dari 15 hingga 41 tahun, manakala tiga lagi suspek lain iaitu pengawal keselamatan dan seorang orang awam. 


Difahamkan, penyamun terbabit maut selepas dibelasah pemilik rumah yang dipecah masuk oleh mangsa pada 27 Disember 2020, kira-kira jam 2 pagi. 


Mangsa dibelasah oleh tiga beranak terbabit dan turut serta melakukan kekerasan itu ialah tiga lagi suspek lain yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan rumah tersebut. 


Ketika polis tiba di tempat kejadian, mangsa berada di dapur dalam keadaan tangannya diikat dan mengalami luka akibat dipukul. 


Polis turut merampas beberapa barangan milik mangsa seperti motosikal dan barangan milik pemilik rumah seperti rantai emas dan dompet berisi dokumen penting yang dipercayai mahu dicuri oleh mangsa. 


Agus menasihatkan masyarakat untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah yang berlaku kepada pihaknya dan jangan sesekali mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang padah. - Agensi