Boss Yakuza mengadu, perniagaanya terjejas disebabkan Pandemik Covid-19


Salah seorang ketua kumpulan jenayah terancang Jepun secara terbuka mengaku bahawa perniagaannya terjejas semasa pandemik Covid-19. 


Kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Yakuza, terkenal dengan menjana hasil pendapatan melalui kegiatan haram seperti perjudian dan dadah, tetapi juga mengawasi perniagaan yang sah. 


Salah satunya ialah menjalankan perniagaan gerai makan bagi festival dan acara di mana sebahagian besarnya telah dibatalkan atau dikurangkan kerana Covid-19. 


Ketua Yakuza yang enggan didedahkan namanya itu memberitahu akhbar Daily Shincho bahawa sumber pendapatan dari perniagaan itu tidak menentu ketika pandemik. 


"Kami biasanya menjana banyak keuntungan hasil penjualan kepada orang ramai yang mengunjungi kuil pada akhir tahun dan Tahun Baru. Tetapi tahun ini terjejas akibat pandemik Covid-19. 


"Berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, keuntungan kami hanya satu pertiga daripada apa yang kami biasa buat. Jumlah gerai makanan yang beroperasi juga semakin menyusut ekoran dari tindakan kerajaan melaksanakan peraturan baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan di samping itu jumlah orang mengunjungi kuil juga berkurangan," katanya. 


Berbeza dengan negara-negara Asia yang lain di mana kawasan kejiran atau pasar tertentu selalu menjadi tumpuan pengusaha gerai makanan untuk menjalankan perniagaan. Tetapi di Jepun, gerai makanan selalu menyasarkan tempat beribadat atau kawasan-kawasan tumpuan orang ramai ketika bercuti. 


Walaupun banyak gerai diusahakan oleh peniaga tempatan, ada sesetengahnya dijalankan oleh kumpulan Yakuza. 


Tahun ini juga menyaksikan Taman Ueno Tokyo membatalkan acara tahunannya, Festival Cherry Blossom, salah satu acara terbesar menonton bunga sakura, dan sekali gus mengurangkan lagi jumlah keuntungan gerai makanan Yakuza. 


Operasi perniagaan Yakuza juga terjejas kerana kebanyakan anggotanya sudah berusia dan berisiko terkena jangkitan virus berbahaya itu. Keadaan itu membuatkan Yakuza juga terpaksa membatalkan beberapa aktiviti tahunan mereka. 


Jepun dilaporkan mengekalkan kadar kematian disebabkan Covid-19 yang sangat rendah sejak wabak itu mula menular tahun lalu. Kadar jangkitannya yang rendah mengejutkan para pemerhati. 


Kebanyakan orang Jepun memilih untuk tinggal di rumah secara sukarela dan mengelak untuk berada di kawasan yang dikunjungi orang ramai tanpa perlu diarahkan berbuat demikian, sekali gus membantu mengurangkan penularan wabak tersebut. 


Sumber: Daily Mail