'Bunyi hon itu mengelirukan & mengganggu ketenteraman awam' - Lori/bas guna hon tenonet akan didenda RM2,000 atau penjara 6 bulan oleh JPJ


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menetapkan, kenderaan yang menggunakan 'hon tenonet' boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam tahun atau denda maksimum RM2,000. 


Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, pihaknya menerima aduan awam dan mula menjalankan Operasi Penguatkuasaan Hon Melebihi Satu Nada atau Berirama sejak 1 Mac 2021. 


Pemantauan pihaknya mendapati, kenderaan jenis lori dan bas banyak menggunakan 'hon tenonet' susulan trend penggunaan jenis hon itu menjadi trending kebelakangan ini. 


Namun beliau menjelaskan, hon seperti itu tidak sepatutnya digunakan kerana ia boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain, selain mengganggu ketenteraman awam. 


"...penggunaan hon yang melebihi satu nada atau berirama ini boleh mengelirukan pengguna jalan raya lain tentang isyarat yang ingin disampaikan serta boleh mengganggu ketenteraman awam sekiranya dibunyikan di kawasan perumahan," katanya. 


Pemandu atau pemilik kenderaan berat yang didapati menggunakan hon seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda maksimum RM2,000. 


Selain itu, memasang 'hon tenonet' secara aksesori juga boleh diambil tindakan saman di bawah Kaedah 24(i) Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu memasang hon melebihi satu nada. 


Pemilik kenderaan yang didapati berbuat demikian perlu membuang hon tenonet yang dipasang dan hadir ke mana-mana pejabat JPJ berdekatan untuk menjalani pemeriksaan. Notis Penarikan Semula Larangan Penggunaan Kenderaan (PG2) akan dikeluarkan selepas pemeriksaan kenderaan dibuat. 


Pemilik kenderaan juga perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan atau kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut. 


JPJ Selangor akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. 


Sumber: Sinar Harian