Kembar main 'taik' ditahan AADK, mengaku dah rosakkan adik sendiri


Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Cheras menahan enam lelaki berusia 20 hingga 38 tahun yang menyalahgunakan dadah di sebuah projek perumahan rakyat (PPR), malam Rabu, 10 Mac 2021. 


Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras, Mohd Ridhwan Mohd Rozmi berkata, operasi itu dilakukan setelah pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan itu. 


Bertindak di atas aduan itu, dua pegawai dan lapan anggota AADK Daerah Cheras diarah melakukan operasi itu yang bermula jam 10 malam. 


Seramai enam lelaki termasuk kembar dan juga adik mereka ditahan. Salah seorang kembar yang sedang menghisap dadah syabu di tangga kediamannya bersama rakannya bertempiaran lari ketika diserbu, namun usaha mereka hanya menemui jalan yang sia-sia apabila mereka berjaya ditahan. 


Ada di antara mereka yang melarikan diri ke rumah rakan dan berpura-pura tidur. Tetapi taktik itu tidak berjaya mengaburi pihak AADK yang sudah boleh membaca 'masa depan' mereka. 


Salah seorang kembar berkata, dia dan adik kembarnya yang masing-masing berusia 26 tahun itu mula terjebak dengan dadah sejak usia 17 tahun selepas terpengaruh dengan abang mereka yang juga merupakan penagih dadah (kini di Penjara Kajang). 



Lama kelamaan, dua beradik kembar itu menjadi ketagih sehingga turut mempengaruhi adik lelaki mereka berusia 21 tahun mula ketagih dadah sejak sebulan lalu. 


Menurut lelaki itu, dia kebiasaannya melakukan aktiviti itu bersama dengan beberapa rakan yang lain dan bekalan dadah pula diperolehi dari rakan. Rumah yang diserbu oleh AADK itu pula dijadikan sebagai tempat untuk mereka melepak sambil menghisap dadah. Sebagai balasan, mereka diberi bekalan dadah syabu secara percuma. 


Difahamkan, lelaki itu pernah belajar di pusat tahfiz sebelum ini, tetapi tidak bertahan lama kerana dia melarikan diri dari pusat itu.


Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata, operasi itu dilakukan bukan untuk menghukum, tetapi lebih kepada mahu membantu mereka untuk pulih semula dari penyalahgunaaan dadah di mana majoriti yang dikesan menjadi penagih adalah dari golongan belia. 


Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. 


Sumber: Harian Metro