Lelaki ditetak housemate guna pisau pemotong daging kerana usik barang miliknya


Seorang anggota polis cedera di bahagian leher selepas ditetak oleh rakan serumahnya yang juga anggota polis (koperal), dalam kejadian yang berlaku di rumah sewa di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor, Ahad, 14 Mac 2021. 


Difahamkan, mangsa dan suspek menyewa di rumah yang sama sejak setahun yang lalu sebelum tercetusnya perkara yang tidak diingini itu pada jam lima petang. 


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek bengang dengan mangsa yang didakwa telah mengusik barang miliknya. Suspek kemudian bertindak menetak mangsa di bahagian leher menggunakan pisau pemotong daging.


Mangsa yang juga merupakan pemandu e-hailing itu sempat menghubungi polis untuk meminta bantuan dan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sedang duduk di lantai rumah.


"Tindakan suspek itu didorong oleh tekanan dialaminya akibat penceraian sehingga menyebabkannya kerap berhalusinasi. 


"Suspek juga dipercayai berhalusinasi ketika kejadian sebelum menetak mangsa. Namun ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap anggota itu didapati negatif," katanya. 


Pisau pemotong daging yang digunakan suspek dalam kejadian itu dirampas. Suspek telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun (maksimum) dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.


Sementara itu, mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan. 


Sumber: Harian Metro, Getaran