Pemandu treler positif dadah, langgar jejantas sehingga runtuh menyebabkan 2 pekerja kilang maut


Sebuah van pekerja kilang dilaporkan dihempap runtuhan jejambat sebuah projek lebuh raya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MMR2) dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 petang Rabu, 3 Mac 2021. 


Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk pada laluan berkenaan susulan runtuhan dan operasi menyelamat lima mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu. 


Seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Bandar Tun Razak dan Cheras dikerahkan ke lokasi kejadian. 


Difahamkan, jejambat projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu runtuh selepas sebuah treler yang membawa jengkaut terlanggar perancah besi binaan itu, lalu menghempap sebuah van pekerja kilang yang datang dari arah pusat bandar menuju ke tempat kerja. 


Pemaju Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd bagi projek pembinaan SUKE berkata, treler berkenaan bukan milik pihaknya dan tidak terbabit dalam projek pembinaan tersebut. 


Mangsa pertama iaitu lelaki (pemandu) berjaya dikeluarkan dari van tersebut pada jam 8.55 malam terus dibawa ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz untuk mendapatkan rawatan. 


Jam 9.17 malam, dua mangsa seterusnya berjaya dikeluarkan dan keadaan mereka dilihat stabil setelah salah seorang daripada mereka dilihat mengangkat tangan. Malangnya, dua mangsa terakhir yang dikeluarkan, dilaporkan telah meninggal dunia.


Maslinawati Abdullah, 43, kakak kepada salah seorang mangsa yang maut (Nor Hayati Abdullah, 42) terkejut menerima panggilan daripada pegawai polis yang memaklumkan adiknya telah meninggal dunia dalam tragedi runtuhan itu. 


Maslinawati terdahulu dimaklumkan oleh penyedia adiknya yang memaklumkan berlaku kemalangan ketika adik dan rakannya dalam perjalanan ke tempat kerja di kilang elektronik di Subang Mewah. Maslinawati kemudian diminta datang ke hospital oleh pihak bagi melakukan pengecaman jenazah. 


"Kali terakhir kami berjumpa Ahad lalu di kampung. Terasa sangat kehilangan ini, seperti tak percaya berita ini. Saya lihat tadi keadaannya seperti tidur. Insya-Allah kita sama-sama doakan untuknya," katanya. 



Difahamkan sehingga kini, ibunya, Hasmah Sohor, 77, yang uzur masih tidak mengetahui kejadian yang menimpa anak perempuannya itu. 


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pemandu treler berusia 40 tahun terbabit positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing di IPD Dang Wangi. 


Berdasarkan siasatan awal, treler tersebut melalui MRR2 dan sebaik tiba di lokasi, kenderaan berat itu terlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di dua-dua laluan MRR2 sebelum menghempap van pekerja kilang. 


Kejadian itu menyebabkan pemandu van, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman. Dua penumpang, Zaitun Zainal, 54, cedera di kaki kiri dan Zakiyyah Yakop, 51, cedera di betis kaki kiri. 


Dua mangsa yang meninggal dunia ialah Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Nor Hayati Abdullah, 42. 


Pemandu treler itu ditahan dan direman mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 


Sumber: Harian Metro