'Saya pakai ekzos bising ni sebab nak halau babi' - Alasan pemilik motor ditahan dalam Ops Khas Ekzos Bising


Operasi membanteras penggunaan ekzos bising masih giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjaga ketenteraman orang awam yang sering mengadu terganggu dengan bunyi bising ekzos motosikal terutamanya di kawasan perumahan. 


Meskipun usaha itu menerima pelbagai reaksi dari masyarakat termasuk ada yang mendakwa 'kerajaan sedang mengaut keuntungan melalui saman ekzos', Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikannya. 


"Menjadi tanggungjawab polis melindungi penduduk yang selama ini sengsara dengan bunyi bising ekzos itu. Kita mahu jaga keselesaan dan keselamatan orang yang tinggal khususnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah yang sering berhadapan dengan bunyi bising itu," katanya memetik laporan Harian Metro, 23 Mac 2021. 


Sementara itu di Segamat, Johor, seorang lelaki berusia 35 tahun merayu agar pihak polis tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadapnya selepas ditahan dalam Ops Khas Ekzos Bising di Jalan Genuang pada 14 Mac 2021. 


Lelaki itu berkata, ekzos motosikalnya tidak pernah mengganggu ketenteraman awam dan dia hanya menggunakan ekzos tersebut untuk menghalau haiwan liar dari kebunnya. 


"Ekzos bising ni monyet takut tuan, sebab itu saya pakai (ekzos) kalau nak halau monyet dan babi hutan di kebun pisang," katanya. 


Bagaimanapun, polis tidak menerima alasan lelaki itu dan meminta dia hadir ke Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk pemeriksaan tahap bunyi ekzos oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). 


Sejak 1 Mac 2021 sehingga 21 Mac 2021, PDRM telah mengeluarkan 5,721 saman terhadap 4,087 pengguna motosikal. Sebanyak 2,389 motosikal turut disita untuk membantu siasatan. 


Sumber: Harian Metro, Berita Harian