(Video) 'Saya dah tak nak jadi orang...' - Muhammad Sajjad nak tinggalkan agamanya, salahkan pihak lain yang menjadi punca dia nak murtad?


Usahawan kosmetik yang diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kembali viral di media sosial selepas lelaki berusia 36 tahun itu mengugut mahu meninggalkan agamanya susulan tertekan dengan tindakan pihak berkuasa yang mahu menahannya di atas kesalahan berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina. 


Berdasarkan klip video yang berdurasi 1 minit 48 saat itu, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berkata, "Saya baca, tak salah kita buat research agama lain kan? Sebab kita tak ada buat apa-apa, lepas itu orang nak salahkan kita teruk. 


"Lepas JAIS keluarkan statement itu, saya dah malas nak fikir. Saya cakap ini bukan saya nak mengugut ke tak. Secara sumpah demi nama saya, nama ayah saya, nama mak ayah saya, saya dah tak nak menjadi orang Islam," katanya sambil menggelengkan kepala. 


"Saya keluar daripada agama Islam. Itu lebih afdal. Saya tak main-main, saya cakap betul. Mereka yang buat saya, jadi saya nak keluar daripada Islam. Sasya tak main-main, saya cakap betul-betul. 


"Mereka yang buat saya nak keluar daripada Islam. Mereka buat saya lebih jauh daripada Islam... dengan benda yang macamini, diorang buat saya, mungkin diorang ingat diorang boleh bagi iktibar... bukan. 


"Saya lebih takut dan saya rasa lebih baik keluar daripada agama ini. Sebab saya lahir pun dalam Islam dan saya ikut sahaja apa yang mak saya ajar, saya buat. Rupa-rupanya... tak tahulah," katanya. 



Kenyataan Muhammad Sajjad itu mengundang respon banyak pihak, termasuk Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri yang berpandangan bahawa Sajjad tidak sepatutnya menyalahkan mana-mana pihak di atas apa yang berlaku kepada dirinya pada waktu ini. Sebaliknya, cuba memperbetulkan diri. 


"Sajjad nak murtad, salah siapa? Adakah salah penguatkuasa yang mengambil tindakan terhadapnya atau nak salahkan netizen yang mengecam akan perbuatannya yang melampau dan salah di media sosial? 


"Saya rasa Sajjad kena salahkan diri sendiri yang semakin hari semakin hanyut dengan kemewahan yang dimiliki serta dunia khayalan ciptaannya yang telah menipu dirinya. 


"Murtad bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang Sajjad hadapi, bahkan ia menambah parah dalam diri Sajjad. Kembalilah kepada fitrah, bertaubat kepada Allah, Allah Maha Penerima Taubat," katanya. 



Semalam, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan pihaknya bersedia membantu JAIS untuk mengesan Muhammad Sajjad yang disyaki sedang bersembunyi bagi mengelakkan ditangkap susulan waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah atas kegagalannya hadir pada hari perbicaraan. 


Sehingga kini, JAIS masih berusaha mengesan keberadaan lelaki itu dan tidak menolak kemungkinan yang dia masih berada di kawasan Lembah Klang. 


Sumber: Harian Metro