'Saya tahu bunyi ekzos bising itu mengganggu, tetapi nak ikut trend, minat & keselamatan' - 10 motosikal ditahan polis kerana ubahsuai ekzos


Minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang menggubahsuai ekzos sehingga menimbulkan gangguan teradap ketenteraman awam. 


Bagi mereka yang didapati melakukan kesalahan itu sama ada pemilik motosikal atau kereta, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000. 


Hari ini, Ops Khas Kesalahan Bunyi Bising telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula pada jam 10 hingga 12.30 tengah hari di Jalan Duta, Kuala Lumpur. 


Hasilnya, sebanyak 10 buah motosikal seperti Yamaha Y15(4), Yamaha 125Z (1), Yamaha R15 (1), Benelli (1), Kawasaki Z900 (1), Yamaha R6 (1) dan Kawasaki ER-6 (1) telah ditahan kerana didapati melakukan kesalahan penggunaan ekzos bising yang keterlaluan. 


Mereka yang ditahan akan dikenakan tindakan di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) dan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melakukan pengubahsuaian. 


Salah seorang yang ditahan, Shahril, 30, berkata dia sememangnya sengaja menggunakan ekzos bising itu kerana mengikut trend yang mendorong kepada minatnya. 


Shahril yang ditahan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya sedar penggunaan ekzos sedemikian hanya akan menganggu orang dan dia kini menyesal setelah ditahan serta bakal dikenakan tindakan undang-undang. 


"Saya akui guna ekzos bising kerana trend dan minat. Saya tahu bunyi bising itu memang mengganggu orang dan saya menyesal dengan perbuatan itu. 


"Saya menggunakan ekzos 'secondhand' sahaja yang dibeli dari kenalan dua tahun lalu. Ekzos yang asal, saya masih simpan. Ekzos bising itu untuk 'keselamatan' saya agar kereta di depan tahu yang saya berada di belakangnya dan tidak menghalang laluan untuk memotong dan sebagainya," katanya. 


Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berterusan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang pengubahsuaian kenderaan sesuka hati sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang. 


Sumber: Sinar Harian,