'Inilah suspek artis Malaysia yang langgar SOP' - Azal selamba upload muka artis yang langgar SOP, netizen puji keberaniannya


Dua hari yang lalu, anak lelaki kepada pelakon Zarina Zainuddin, iaitu Azal Azrai telah memuat naik gambar pasangan selebriti, Neelofa dan suaminya, Hariz Ismail, bergambar dengan Izara dan suaminya di majlis pernikahan yang diadakan di hotel terkemuka di ibu kota. 


Apa yang menarik perhatian netizen adalah kapsyen yang disertakan pada gambar tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menganggap Azal sangat jujur dalam penulisannya. 


"Inilah suspek artis Malaysia yang dijemput ke majlis pernikahan Neelofa termasuk Izara Aishah, Adib Khalid, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Hannah Delisha dan suaminya tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial dan melanggar prosedur operasi standard (SOP)!" 


Kejujuran Azal mengundang rasa geli hati netizen yang juga memuji tindakan beraninya itu sekali gus memudahkan kerja PDRM dan KKM. 


Posting itu turut disedari oleh ibunya, "Aduhh dia jadi polis pulak. Dah takde kerja lain ke menyibuk hal orang. Azal jadi reporterlah dapat gaji". 




Zarina melalui laporan Harian Metro semalam, tampil memohon maaf kepada artis-artis terbabit sekiranya mereka tersinggung dengan tindakan anak istimewanya itu. 


"Saya pun perlu menjaga hati orang dan sebagai manusia, saya juga ada melakukan kesalahan. Kadang-kadang, kita terlepas pandang," katanya. 


Jelas Zarina, akaun instagram itu dikendalikan sendiri oleh Azal dan kapsyen yang ditulisnya itu adalah kata-kata yang mengikut hatinya.


"Dia sendiri yang mengendalikan akaun itu dan Azal memang anak yang jujur. Dia tidak tahu nak cakap berpusing-pusing. Dia suka tengok berita dan tahu banyak perkara mengenai isu semasa. Dah macam wartawan pula. 


"Saya kadang-kadang sibuk dengan urusan kerja dan tak sempat nak memantau. Jadi, kalau ada benda yang dirasakannya tak betul, dia akan cakap secara terus. 


"Dia sendiri sangat menjaga SOP. Dalam begnya ada banyak cecair pembasmi kuman dan selalu membawa banyak pelitup muka. Kalau masuk ke pusat beli-belah, dari pintu masuk hingga ke semua kedai, dia akan imbas kod MySejahtera dan suhu badan. 


"Kadang-kadang dia juga mengingatkan saya supaya menjaga penjarakan fizikal, selalu memakai mask dan patuh SOP," katanya. 


Sumber: Instagram Azal Azrai, Harian Metro