Penganggur tukul kepala rider Food Panda sampai berdarah, enggan mengaku bersalah di mahkamah


Penganggur yang memukul dan mencederakan seorang penghantar makanan yang kononnya telah memarahi isterinya pada Selasa lalu, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini. 


Bagaimanapun, lelaki berusia 31 tahun itu masih kekal dengan pendiriannya enggan mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap. 


BACA: '10 minit rider kena tunggu, kau suruh laki kau plak bantai rider?' - Kepala Rider Food Panda cedera dipukul dengan tukul besi oleh suami kepada pelanggannya


Muhammad Aslam Hashim, didakwa memukul Koay Eng Tat, 40, menggunakan penukul besi di bahagian kepala sehingga menyebabkan pendarahan dalam kejadian yang berlaku di perkarangan Apartmen Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua, jam 4 petang, 20 April 2021. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahn boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, sementara itu tertuduh pula tidak diwakili peguam. 


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes disambung semula pada 25 Mei 2021. 


Dalam kejadian Selasa lalu, 20 April 2021, mangsa menghantar makanan yang dipesan oleh isteri suspek. Sebaik saja tiba di lokasi yang diberi, suspek terpaksa menunggu lama untuk pelanggan mengambil makannya itu. 


Mangsa dikatakan cuba menghubungi telefon bimbit isteri suspek, tetapi panggilan tidak dijawab menyebabkan dia terpaksa menunggu lebih kurang 10 minit sebelum wanita itu muncul di depannya dan kedua-dua mereka pun beredar. 


20 minit kemudian, suspek menghubungi mangsa dan meminta dia datang kembali kerana mahu memulangkan makanan tersebut. Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa, terus datang dan terus diserang oleh suspek dengan penukul besi. 


Suspek dikatakan bertindak ganas kerana mendakwa mangsa telah memarahi isterinya ketika menghantar pesanan tersebut. 


Sumber: Harian Metro