(Video) 'Tak gentle la 2 lawan 1' - 2 suspek hentak kepala mangsa guna helmet


Susulan viral video pergaduhan di sebuah kedai makan di Kok Lanas, polis sedang giat mengesan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu. 


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu dan setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang tampil membuat laporan. 


Video berdurasi 31 saat menunjukkan, dua suspek lelaki memukul mangsa lelaki di hadapan sebuah kedai makan. Suspek pertama bergelut dengan mangsa dan diperhatikan oleh suspek kedua. 


Mendapati suspek pertama agak lemah dalam pergelutan itu, suspek kedua bertindak memukul kepala mangsa menggunakan helmet merah sebanyak tiga kali sehingga terjatuh. 


Dua suspek itu kemudian menyebut sesuatu pada mangsa sebelum menaiki motosikal dan beredar dari tempat kejadian. 


Abdul Rahim meminta tiga lelaki terbabit atau mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. 



Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS