Program 2 bekas PM langgar SOP dikenakan kompaun RM24,000


Kerajaan telah mewartakan jumlah kesalahan kompaun bagi mereka yang melanggar SOP. Pelaksanaan kompaun ini dilihat dapat membantu melandaikan lekuk kes harian Covid-19. Pelaksanaan ini juga memberikan peringatan kepada sesiapa sahaja tentang wabak yang menular ini. Tidak mengira status atau jawatan, sesiapa sahaja bakal dikenakan tindakan jika tidak mematuhi SOP yang telah dinyatakan.


Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) telah ditetapkan pada 20 November 2021. Sehubungan dengan itu juga, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.


Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kenyataan media telah mengesahkan pelanggaran SOP melibatkan dua bekas Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak di Melaka baru-baru ini. 


Hasil siasatan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKN) Melaka mendapati bahawa tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka sepanjang tempoh lawatan yang berbentuk walkabout oleh kedua-dua individu tersebut.


Kompaun bernilai RM20,000 telah ditawarkan kepada Perikatan Nasional Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala satu lagi tawaran kompaun bernilai RM 4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh YB Datuk Seri Najib Razak. 


Kedua-dua kompaun ini dikeluarkan berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.


Menerusi kenyataan tersebut juga, KKM menasihati  agar semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia.


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia