Gadis sorok 7 janin dalam kotak makanan sebab malu hamil anak luar nikah



Kota Makassar, Indonesia: Heboh penemuan tujuh jasad janin di sebuah bilik sewa susulan pemilik rumah berkenaan terhidu bau busuk yang sangat kuat. 


Difahamkan, bilik tersebut terdahulu dihuni oleh seorang wanita berusia 26 tahun yang disifatkan sebagai wanita yang baik, pembersih dan rajin beribadah (Kristian). Bagaimanapun, wanita itu telah 'berpindah keluar' secara tiba-tiba dan bilik sewa itu telah kosong sejak lima bulan lalu.


Rumah sewa itu dimiliki oleh pasangan suami isteri, Syamsul dan Nulfa Anugrahwati. Nulfa berkata, dia mula terhidu bau yang kurang menyenangkan dari bilik itu sejak Februari lalu sehinggalah baru-baru ini dia mengambil keputusan untuk membersihkan bilik itu pada 4 Jun 2022. 


Sebelum itu, Nulfa pernah cuba menghubungi penyewanya itu berikutan barangannya peribadinya masih belum diambil. Namun usahanya itu sia-sia dan wanita terbabit terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.


Ketika hendak memindahkan sejumlah barang yang ditinggalkan bekas penyewanya yang dikenali sebagai Nita, Nulfa mendapati ada sebuah kotak makanan yang berbau busuk lalu membukanya dan menemui tujuh bungkusan kain bercorak ular. Terasa pelik dengan bungkusan itu, pasangan berkenaan terus memaklumkan perkara itu kepada ketua kampung yang kemudian meminta pihak polis datang ke lokasi. 


Polis tiba di lokasi dan memeriksa kandungan bungkusan itu menemukan helaian rambut dan tulang belulang. Pasukan forensik mengesahkan tulang-tulang yang ditemui itu adalah tulang janin bayi. 


Ekoran penemuan tujuh janin tersebut, polis telah menahan suspek dan teman lelakinya di lokasi berasingan pada 8 Jun lalu dihantar kepada pihak polis Kota Makassar untuk membantu siasatan. 


Berdasarkan keterangan dari kedua-dua suspek, tujuh janin tersebut merupakan hasil pengguguran kandungan secara haram pasangan itu sejak tahun 2012 hingga 2022. Perbuatan menggugurkan kandungan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan yang hanya dilakukan oleh mereka berdua sahaja tanpa bantuan pihak ketiga dan Nita juga mengambil pil menggugurkan kandungan. 


Nita juga dikatakan mempunyai pengalaman perubatan kerana bekerja dalam bidang kesihatan. Ketika menggugurkan kandungan, Nita dibantu oleh teman lelakinya.


Nita mengakui dia berasa malu kerana melakukan hubungan terlarang sehingga hamil. Hal itu mendorong dia untuk menggugurkan kandungan dan menyembunyikan tujuh janin tersebut di dalam kotak makanan.


Menurut Nulfa pula, dia tidak pernah menyedari Nita hamil kerana tubuh badannya yang kelihatan langsing. 


"Dia sangat rapat dengan kami, saya juga sudah menganggapnya seperti adik. Bahkan anak saya selalu bermain di biliknya. Nita selalu makan bersama-sama kami," katanya. 


Kesemua janin tersebut telah dikebumikan di tanah perkuburan awam. 


Sumber: TV One News