Kelantan United FC sahkan pemainnya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes rogol remaja



Kelantan United FC semalam mengesahkan pemain bola yang dikaitkan dengan kes rogol remaja baru-baru ini adalah pemain pasukannya. 


Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menangani kes tersebut. 


LAPORAN BERKAITAN: Pemain bola sepak tolak & heret remaja perempuan ke dalam bilik, lalu dirogol


"Kelantan United FC sedia maklum dengan dakwaan yangg tular dan mengesahkan kes yang disabitkan adalah pemain kami. Pihak Kelantan United FC memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh kes berkenaan yang didakwa terhadap pemain berkenaan. 


"Kami sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab," katanya. 


Walaupun begitu, Kelantan United FC katanya tetap berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak. 


Susulan kes itu, pemain terbabit telah direhatkan dari segala aktiviti pasukan Kelantan United FC sehingga satu tempoh yang dimaklumkan kelak. 


Sumber: Harian Metro