'Memang itu perangai mak saya' - Anak peniaga Restoran 35 tampil pertahankan ibu, dakwa pengadu cari publisiti murahan



Susulan tular video pelanggan dakwa dia dan keluarganya dari Singapura dimaki oleh peniaga Restoran 35 di Melaka baru-baru ini, anak kepada peniaga berkenaan tampil memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku. 


Berkata kepada mStar Online, Illa kesal dengan tindakan SisYana membuat dakwaan yang dianggapnya tidak berasas di media sosial, sekali gus boleh menjejaskan imej restorannya. 


BACA: ‘Takde duit jangan bawa mak bapak makan’ - Viral peniaga Restoran 35, maki pelanggan di Melaka


Menurut Illa, pelanggan berkenaan datang ke restorannya di Bandar Hilir pada jam 4 petang, bukannya 2 petang seperti yang didakwa. 


"Bila dah datang pukul  4 petang, memanglah banyak barang dan makanan habis. Kedai buka pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang. Kadang-kadang tutup awal kalau barang atau makanan dah habis. Tapi saya dah maklumkan, kalau nak makan juga, kami sediakan apa yang masih ada," katanya. 


Mengulas mengenai dakwaan harga mahal RM240, Illa menjelaskan, SisYana datang bersama keluarganya seramai 10 orang dan memesan hidangan lauk ikan pari, kerabu mangga, telur dadar dan daging goreng kunyit. Harga yang dikenakan berdasarkan apa yang dipesan. 


Mengenai ibunya yang bersuara lantang di hadapan pelanggan, Illa memaklumkan isu itu bukanlah perkara baharu. 


"Memang itu perangai mak saya. Kami bukan baru berniaga, dah berpuluh-puluh tahun. Kalau pelanggan tetap, mereka tahu macam mana perangai mak saya. 


"Dia kata pernah datang ke restoran kami sebelum ini, dia sepatutnya lebih tahu perangai ibu saya. Lagipun mak saya bukan maki seperti yang diperkatakan. Dalam video itu pun sekadar perbalahan. Memang mak saya membebel, tapi mak tak mencarut," katanya. 


Illa mendakwa, SisYana sengaja mencari publisiti bagi memburukan imej perniagaan keluarganya yang telah diusahakan lebih 30 tahun lalu.


"Biarlah dia nak viralkan pun, cuma saya kesal ia memberi kesan pada imej dan nama baik restoran kami. Kami sebenarnya tak mahu mencari masalah dengan orang, cuma manusia ni ada macam-macam perangai. Tak boleh nak puaskan hati semua," katanya. 


Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Diana berkata, "Saya saksi kejadian. Kami sampai awal sakit dan masa makan tu segala perasaan anxiety ada. 


"Tuan kedai memekak macam marah orang datang kedai dia. Saya pun orang Melaka tetapi duduk di Selangor. 




"Kita meniaga, cakap elok-elok dengan pelanggan sebab pelanggan itu (SisYana) okay je, tanya lauk. Masalahnya bukan customer itu seorang saja yang kena bambu, mana-mana pelanggan yang bertanya semua kena sekali.


"The best part is (dia kata), 'Saya dah meniaga 50 tahun'," katanya. 


Sumber: mStar Online, Saksi Diana