'Saya sebenarnya seorang yang pemalu' - Sofia tak kejar populariti



Populariti pelakon Sofia Albarakbah,28, semakin meningkat selepas membintangi drama Suamiku Lelaki Pendosa, gandingan bersama Aaron Aziz beberapa bulan lalu. Namun, bagi Sofia, populariti bukanlah perkara yang dikejarnya apabila menceburi industri seni hiburan tempatan. 


Anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga kacukan Cina, Melayu dan Arab itu juga mengakui mempunyai sikap pemalu terutamanya apabila berdepan dengan orang ramai. 



"Saya memulakan kerjaya sebagai model tangan dan itu membuktikan betapa saya sebenarnya seorang yang pemalu. Apatah lagi apabila berdepan dengan orang ramai yang baru saya kenali. 


"Malah, kadang-kala ada yang menyalah tafsirkan sikap pemalu saya sebagai seorang yang sombong. Walhal, sebenarnya saya seorang yang pemalu dan mengambil masa untuk 'warm up'," katanya. 


Bagaimanapun, selepas menceburi bidang lakonan, Sofia mengakui kerjaya itu sedikit sebanyak menepikan perasaan malu dan introvert. Tetapi perkara itu bukan boleh diubah dalam sekelip mata dan perlu mengambil masa. 



Sejak berkecimpung dalam bidang seni sehingga ke hari ini, Sofia belum pernah terpalit dengan sebarang kontroversi sehingga memakan diri dan menjadi kecaman ramai. 


Perkara itu mungkin disebabkan keperibadiannya yang lemah lembut dan tidak gemar menyusahkan banyak pihak yang secara tidak langsung meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri. 


Sumber: Harian Metro