Bank Negara dijangka naikkan OPR, rakyat mula rasai tekanan & hilang harapan miliki rumah sendiri



Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) keempatnya pada minggu ini, kata Moody’s Analytics.


Sementara itu, MIDF Research berkata, BNM akan "mempertimbangkan untuk satu lagi kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas" berikutan peningkatan berterusan dalam inflasi teras, sekali gus mencerminkan permintaan dalam negeri yang kukuh.


Bagaimanapun, rakyat tidak bersetuju sekiranya OPR dinaikkan lagi kerana tindakan itu dikhuatiri akan memberi tekanan berganda terhadap peminjam, apatah lagi di kala kos sara hidup yang semakin meningkat di mana kerajaan dilihat seperti tidak melakukan apa-apa untuk meringankan beban rakyat. 


Sofia Izzati Skymmar, 25, kakitangan swasta berkata, apabila OPR dinaikkan, ia akan menyebabkan kegiatan ekonomi negara tidak dapat dirancakkan kerana pendapatan rakyat yang semakin terhad apabila mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman dengan kadar yang lebih tinggi. 


"Saya tidak setuju, apabila kadar dinaikkan, lagi berat beban perlu ditanggung oleh peminjam. Harga rumah sekarang pun sudah semakin meningkat, sudah tentu rakyat Malaysia kebanyakannya tidak mampu memiliki kediaman sendiri dengan kadar OPR yangg tinggi," katanya. 


Sumber: Bernama, Sinar Harian