Putrajaya baru-baru ini mengumumkan harga siling baru untuk ayam dan telur yang berkuatkuasa sejak 1 Julai 2022, mencetuskan pelbagai reaksi pengguna.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lalu yang mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam, sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard dan telur ayam.
Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaaftar mengeluarkan kenyataan berhubung kenaikan harga telur di pasaran.
Beliau berkata, pengguna perlu memainkan peranan dan memahami situasi peningkatan harga barang disebabkan inflasi di pelbagai peringkat di seluruh negara pada ketika ini.
"Kalau boleh kita sebagai pengguna, kalau dah tahu kenaikan harga telur itu tinggi, kurangkan sikit makan telur.
"Kalau seminggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tiada masalah, itu adalah cara gaya hidup kita.
"Basically, kerajaan memutuskan bagi lagi subsidi ayam dan pelbagai subsidi lain supaya kita tidak terbeban. Kita mohon sangat terutamanya rakyat Melaka, kita sekarang dalam kadar inflasi yang tinggi.
"Bukan Malaysia sahaja yang menghadapi tekanan harga barang naik, bahkan satu dunia. Jadi, ini bukanlah isu baru," katanya.
Kenyataan Norena itu mengundang reaksi negatif netizen yang menganggap kenyataannya itu bersifat kosong, seolah-olah lari dari tanggungjawab serta tidak memberi erti kepada rakyat.
"Saranan yang diberi Noreen ini adalah suatu yang bersifat kosong, seolah-olah lari dari tanggungjawab, tidak memberi erti apa-apa kepada rakyat.
"Takkan nak ulang-ulang skrip inflasi, kenaikan harga barang dunia, semua negara menghadapinya. Setakat nak ulang, nanti orang muak sebab dah tahu. Orang juga nak tahu sebijak mana kerajaan nak handle perkara ini. Sebab apa? orang akan menjangka kerajaan ini tidak ada kreativiti dan tidak ada visi. Kerajaan lemah ini hanya ada perkataan subsidi diulang-ulang beribu kali untuk menangani suatu isu seperti isu ayam ini.
"Mana thinktank kerajaan? Sepatutnya idea-idea mereka diketengahkan untuk membantu rakyat. Tetapi saya rasa idea dari mereka di belakang tadbir kerajaan ini telah dibakulsampahkan oleh ahli politik yang dilantik dalam pilihan raya.
"Mustahil tiada orang-orang di belakang tadbir yang hebat dan boleh memberi idea yang dapat mengintegrasikan dan mencari penyelesaian beberapa isu serentak seperti ekonomi dan kepentingan rakyat seperti isu ayam ini.
"Ini tidak, asyik ulang skrip yang sama. Skrip ini bosan sebab Kerajaan Pusat dilihat seperti tidak boleh berbuat apa, lemah, tidak boleh diharap tetapi sentiasa menayangkan kemewahan. Pentadbir-pentadbir lemah seperti inilah yang patut dibuang oleh rakyat," kata netizen menggunakan nama samaran, Plywood.
Sumber: Forum Cari