Bekas perdana menteri, Najib Razak menafikan dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) memberi kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah sebagai pertukaran undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) sebelumini.
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, tuduhan yang dibuat oleh Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah tidak berasas.
"Kita tidak terbabit dalam pemberian kad pengenalan. Apa-apa yang berlaku pada masa lalu, kita mahu perbetulkan. Sebab itu kita letakkan pemimpin Parti Bersatu Sabah untuk selesaikan perkara itu semasa zaman saya menjadi perdana menteri.
"Sekarang penekanan kita mahu mengawal sempadan Sabah, memperkukuhkan keselamatan dan bekerja demi pembangunan Sabah. Itulah agenda BN.
"Saya tidak tahu kenapa Dr Maximus Ongkili membuat tuduhan sedemikian," katanya.
Mengulas mengenai program Konvensyen BN Sabah 2022 di ITCC, Najib menyifatkan Sabah boleh menjadi 'simpanan tetap BN' menjelang PRU-15 akan datang.
"Kita harap dapat margin yang baik dan hari ini ia adalah permulaan yang baik untuk kempen.
"Tapi saya meminta mereka berhati-hati, ini bukan segala-galanya. Apa yang lebih kritikal ialah semangat kebersamaan yang harus disemat di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian. Hanya dengan itu kita dapat pastikan kemenangan besar untuk BN," katanya.
Sumber: Harian Metro