(Video) Tak puas hati putus tunang, pemandu Viva rempuh Myvi bekas tunang sampai jahanam



Tular di media sosial video pemandu Perodua Viva mengundurkan kenderaannya dan merempuh sebuah kereta Perodua Myvi beberapa kali, undang pelbagai reaksi netizen. 


Menurut sumber, kejadian itu berlaku pada jam 2 petang semalam di Bandar Indah, Sandakan, Sabah. 


Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video tular tersebut dan mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat oleh pemilik Myvi berkenaan yang berusia 20 tahun. 


"Hasil siasatan awal polis mendapati, kejadian terbabit berlaku di Bandar Indah kira-kira jam 2 petang semalam. 


"Suspek lelaki yang juga bekas tunang mangsa berusia 20-an pada masa kejadian memandu Perodua Viva didapati dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa yang diparkir di tempat letak kenderaan. 



"Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya," katanya yang juga mengesahkan motif kejadian kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka diputuskan.


Susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan suspek pada jam 11.15 malam untuk membantu siasatan. Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro