Golongan belia bawah 22 tahun semakin aktif lakukan hubungan seks - Kajian

Foto hiasan | Miaw terkejut membaca berita ini


Golongan belia di Malaysia dilaporkan semakin aktif melakukan hubungan seksual, termasuk individu yang berada di bawah usia 22 tahun pada tahun ini, berbanding enam tahun lalu. 


Menurut Pengarah Pemasaran Reckitt Bengkiser Tiffany Tang berkata, hasil kajian dari Tinjauan Kesihatan Seksual dan Kesejahteraan Hubungan Intim Durex Malaysia yang dijalankan secara online sejak April hingga Mei lalu membabitkan 1,089 responden berusia 18 hingga 30 tahun dengan 51 peratus responden merupakan belia Melayu, mendapati, 35.4 peratus golongan belia mengaku pernah melakukan hubungan seks. 


Rekod pada tahun 2016 menunjukkan, hanya 18.8 peratus golongan belia mengakui pernah melakukan hubungan seks berbanding tahun ini yang mencatatkan peningkatan hampir 20 peratus. 


62 peratus belia pula mengaku baru kali pertama melakukan hubungan seks pada usia 22 tahun ke bawah, berbanding 42 peratus pada 2016. 


Selain itu, kajian juga mendapati ada belia yang salah faham mengenai jangkitan seksual dan kehamilan di mana 31 peratus responden mengaku mereka tidak tahu perempuan boleh mengandung pada kali pertama melakukan hubungan seks. 


Manakala, 31 peratus responden pula percaya dengan mitos bahawa wanita tidak boleh hamil ketika tempoh haid. 


Jelas Tiffany, kajian itu dilakukan bagi mengetahui tahap pemahaman masyarakat mengenai kontraseptif, STI, stigma dan persepsi berkaitan seks. 


"Kita mengharapkan lebih banyak perbincangan berkaitan seks dan seksualiti diadakan secara terbuka dalam usaha mewujudkan ruang selamat kepada golongan belia. Ini penting agar mereka tidak takut berkongsi pengalaman dan sekali gus boleh mendidik diri untuk bertanya soalan berhubung seks," katanya. 


Sumber: Harian Metro