(Video) 'Naik gaji boleh, bina jambatan untuk rakyat tak boleh?!' - Netizen selar kerajaan Sabah gagal sediakan kemudahan untuk rakyat



Tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan murid sekolah yang lengkap berpakaian seragam dilihat berusaha menyeberangi sungai untuk menghadirkan diri ke sekolah.


Lapor Sinar Harian, kejadian itu dipercayai berlaku di Pitas, Sabah dan dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter pada 8.41 pagi, Rabu. 


Dalam video itu, sebahagian murid tidak memakai jaket keselamatan berada di dalam sampan dan menyeberangi sungai, manakala sebahagian murid yang lain sudah memakai jaket keselamatan sedang menunggu giliran menaiki sampan kecil itu di tebing. 


"Dapat video ini dari WhatsApp group P179 Ranau. Terkejut jantung. Lokasi di Kampung Mangkabusu, Pitas, Sabah.


"Walaupun peperiksaan UPSR dan PT3 sudah dimansuhkan, pelajar-pelajar ini tetap gigih pergi ke sekolah. Semoga ada tindakan lanjut dapat dilakukan dengan kadar segera," ciap Pia Pinah. 



Sementara itu, netizen meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri Sabah yang dilihat gagal menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur kepada rakyat, sedangkan negara sudah lama merdeka dan hanya bandar-bandar utama sahaja diberi keutamaan untuk membangun. 


Lebih teruk lagi, Ketua Menteri Sabah baru-baru ini mengumumkan usul kenaikan gaji bagi dirinya dan semua ADUN diluluskan tanpa mengambil kira rakyat yang sedang bergelut dengan krisis kenaikan harga barang dan kos sara hidup meningkat. 


BACA: 'Kenaikan tak terlalu berat, hanya RM5.6 juta setahun' - Usul naik gaji Ketua Menteri & ADUN Sabah diluluskan


"Ingatkan zaman kami ja sempat naik sampan pergi sekolah. Rupanya sampai sekarang masih macam ni. Rumah menteri di atas, anak-anak diorang selesa ja pergi sekolah. Tapi kami, anak-anak kami macam mau pergi berperang kalau mau pergi sekolah," kata Butodlo. 


"Aku yang tengok video ini pun aku rasa bersalah. Para pemimpin kita tak ada perasaan ke??" kata Sazly. 


"Menangis aku tengok video ini, menteri sibuk kumpul kekayaan mereka sedangkan rakyat kekal terbeban," kata Jaiyen. 




"Hairan kenapa kerajaan masih sibuk nak naikkan itu ini di Lembah Klang tetapi tempat-tempat yang sepatutnya pula tidak dinaikkan. Bayangkan kalau diorang buat jambatan yang kukuh di situ, dah sangat memudahkan perjalanan adik-adik tu ke sekolah tau tak," kata Yana. 


Sumber: Sinar Harian, Twitter Pia Pinah