(Video) 'Patut ikat & seret 10 km, menyusahkan orang!' - Netizen puji Polis Kuantan berkas mat rempit tularkan kebodohan diri



Padah melakukan aksi berbahaya di jalan raya dan menularkan kebodohan sendiri di media sosial, seorang penunggang motosikal ditahan polis. 


Terdahulu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuantan mengesan satu klip video yang ditularkan oleh pemilik akaun Instagram Kuantan_Rider Official dengan kapsyen, "Bandar Kuantan tengah panas? Takpe, kita buat lagi panas". 


Video menunjukkan seorang penunggang motosikal melakukan aksi 'wheelie' (mengangkat tayar depan) yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. 


Berdasarkan beberapa maklumat yang diperolehi, polis berjaya menahan lelaki terbabit dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 


Motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas sebagai bahan bukti.


"Langit tidak selalunya panas, tiba-tiba boleh sejuk. Begitu juga kuantan, sejuk panas, sejuk panas," kata pengendali Facebook Polis Trafik Kuantan. 



Sementara itu di ruangan komen, netizen berterima kasih kepada pihak polis dalam usaha menangani penunggang motosikal yang kerap melakukan onar di jalan raya. Tidak kurang juga ada yang menyarankan polis mengenakan saman terhadap ibu bapa atau penjaga remaja terbabit sebagai pengajaran. 


"Patut ikat je budak ni kat belakang lori, pastu seret 10 kilometer. Menyusahkan orang je kerjanya," kata Mohd Rozairi Ramli. 


Tinjauan di Instagram Kuantan Rider mendapati, pengendali akaun tersebut masih lagi memuat naik video-video penunggang motosikal melakukan aksi-aksi berbahaya itu. 


Berhubung kes penunggang motosikal ditangkap kerana melakukan aksi wheelie, pengendali akaun tersebut memohon maaf kepada semua pengikutnya dan menasihatkan untuk tidak melakukan aksi itu lagi. 


"Beringat ye adik-adik permotoran. Min boleh je post takde masalah. Yang masalahnya awak, bukan saya. Kalau boleh jangan buat aksi ni. Min minta maaf kepada semua," katanya. 


Sumber: Polis Kuantan