Foto hiasan | Head Topics |
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyelar tindakan seorang pegawai tinggi kerajaan yang didakwa telah menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin juga menyifatkan tindakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) itu sebagai biadab dan tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.
Menurut beliau, dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.40 pagi itu, KPPA tidak berpuasa hati dengan ketiadaan pegawai JIM di kaunter Bilik Orang Kenamaan (VIP), Balai Berlepas KLIA yang sepatutnya bertugas 24 jam.
Namun, Khairil menjelaskan, ketiadaan pegawai JIM di kaunter tersebut adalah kerana pegawai lebih diperlukan di kaunter biasa berbanding kaunter bilik VIP yang hanya dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.
KPPA kemudian memanggil Ketua Operasi Imigresen KLIA ditengking dan diherdik serta diminta berdiri tegak sambil disaksikan oleh orang ramai.
"Tindakan yang tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai serta kakitangan Imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.
"Pegawai Imigresen lain yang berada di tempat kejadian turut merasa terhina di khalayak ramai atas tindakan KPPA tersebut," katanya.
Khairil mendakwa, KPPA bukan sahaja mahukan layanan VVIP, malah dia juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa.
Jelas Khairil, pegawai JIM yang ditengking oleh KPPA adalah seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dalam sebarang situasi di tempat kerja. Perbuatan KPPA itu katanya telah mengguris hati pegawai JIM lain dan KPISM menuntut KPPA membuat permohonan maaf secara terbuka.
"KPSIM juga menggesa kepada kerajaan dan CUEPACS agar memandang serius perkara ini dan satu tindakan perlu ditambil kepada penjawat awam yang sombong serta angkuh seperti ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zianuddin mengesahkan kejadian itu berlaku tetapi tidak mengetahui punca sebenar kejadian. Beliau telah meminta JIM menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kejadian itu.
"Siasatan dalaman akan saya lakukan, sudah tentu (akan jalankan siasatan) sebab ada video semua, jadi tak boleh nak lari. Kalau betul la berlaku, saya akan jelaskan nanti," katanya.
Sumber: Kenyataan Presiden KPISM, Harian Metro