'Tak sampai sebulan saya berhenti, kasihan melihat anak-anak taska dilayan dengan ganas' - Bekas pekerja taska

Foto sekadar hiasan sahaja


Tular di media sosial luahan seorang bekas pengasuh kanak-kanak di taska mengenai cara asuhan para pekerja taska yang indah khabar dari rupa, sedangkan amanah yang diberi ibu bapa kanak-kanak, patut digalas dengan penuh tanggungjawab.


Menurut wanita berkenaan yang tidak diketahui identitinya itu berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di beberapa buah taska. Tetapi tidak dapat bertahan lama kerana tidak sanggup menanggung rasa bersalah. 


"Saya tak tahan, tak sampai sebulan pun saya bekerja dan terus berhenti kerja. Sebab saya rasa macam... setiap kali saya balik akan timbul rasa serba salah dan berdosa. 


"Saya pernah cuba bercakap dengan pengasuh lain kenapa layan anak-anak asuhan dengan ganas, tetapi apabila di depan ibu bapa, mereka tunjuk baik sangat-sangat. Ibu bapa tidak akan nampak perangai sebenar mereka. Selepas mereka (pengasuh) tutup pintu, barulah keluar perangai sebenar mereka.," katanya. 


"Saya tak cakap semua taska seperti itu, hanya di taska-taska yang saya pernah kerja sahaja ada masalah seperti ini," katanya. 


Pernah berlaku di depan matanya, di mana dua beradik di hantar ke taska yang sama. Si kakak disuruh oleh pengasuh untuk memandikan adiknya sendiri. 


"Dia (kakak) rendam adik dia dalam besen dan hampir lemas. Saya terus angkat dan bagi mereka mandi. Selepas itu saya beritahu pengasuhnya bahawa si kecil itu hampir lemas. 


"Tetapi dia menjawab, 'Aku buat kerja aku, kau buat kerja kau'. Saya jadi tak terkata, saya kasihan dengan kanak-kanak di taska itu. Sedangkan ibu bapa beri kepercayaan kepada taska untuk menjaga anak mereka.


"Ada satu taska ini, beri kanak-kanak asuhan tidur seharian. Awal pagi itu anak dihantar dalam keadaan baik, sebaik saja pintu taska ditutup, mereka terus disuruh tidur seharian. Malah mereka juga tidak dibenarkan membuang air besar. Kalau ada kanak-kanak yang terberak, habislah dia.


"Perkara-perkara ini ibu bapa takkan nampak. Bila ibu bapa datang menjemput anak, pengasuh itu pun kata "Alhamdulillah, hari ini dia baik...'. Tetapi sebenarnya perangai pengasuh itu, sungguh tak disangka.


"Saya pernah melihat mereka melayan bayi. Mereka letak saja botol susu di tepi mulut bayi dan keluar begitu sahaja tanpa memaklumkan kepada saya untuk mengawasi keadaan bayi itu yang sedang minum susu," katanya. 



Dia menasihatkan golongan ibu bapa sentiasa memastikan sesebuah taska itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) sebelum bersetuju menghantar anak ke pusat asuhan itu. Selain itu, ibu bapa digalakkan datang secara mengejut untuk memeriksa keadaan anak. 


Perkongsian bekas pengasuh taska berkenaan menerima banyak reaksi netizen khususnya golongan ibu bapa yang majoriti mengakui terkejut dengan pendedahan sedemikian. 


Bekas pengasuh taska yang lain juga tampil menyokong pendedahan itu dan mengesahkan sememangnya ada sesetengah taska bermasalah. 


"KERAJAAN PERLU WAJIBKAN TASKA PASANG CCTV"



"SAYA MENANGIS TENGOK DIORANG DILAYAN SEPERTI TIADA HATI & PERASAAN"



"DENGAR CAKAP ANAK, BUAT SPOT CHECK"




Sumber: James ZLFT