Mahkamah Sepanyol baru-baru ini mengarahkan seorang ahli perniagaan di Malaga membayar pampasan 204,000 euro (RM973,809) kepada bekas isterinya untuk 'kerja domestik' (menguruskan rumah tangga) tidak dibayar sepanjang tempoh 25 tahun mereka berkahwin.
Wanita berkenaan yang mendedikasikan tempoh 25 tahun hidupnya untuk menguruskan rumah tangga suaminya yang juga usahawan dan menjaga dua anak perempuan mereka, baru-baru ini diberi pampasan tersebut bagi semua 'kerja' yang dilakukannya selama ini.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak Jun 1995 dan ketika itu mereka berusia 20-an dan dijangka akan menandatangani dokumen pemindahan aset pada bulan depan. Dokumen itu pada dasarnya menyatakan bahawa setiap pasangan mengekalkan pemilikan eksklusif harta yang diperoleh semasa perkahwinan.
"Dia (isteri) adalah bayang-bayangnya, yang bekerja di belakang agar dia boleh berkembang secara profesional dan menjadi sesuatu," kata peguam yang mewakili bekas isteri ahli perniagaan itu di mahkamah.
"Dia menghabiskan masanya untuk menguruskan keluarga agar suaminya dapat memberi fokus pada projek perniagaannya. Dia (isteri) tinggal bersama anak-anak dan mereka tidak pernah mengupah perkhidmatan atau bantuan daripada luar," tambahnya.
Difahamkan, ahli perniagaan itu enggan membayar kos tuisyen anak perempuannya berusia 16 tahun kerana beranggapan kos itu terlalu tinggi. Hal itu menyebabkan si isteri terpaksa bekerja untuk membayar kos tuisyen tersebut. Namun hal itu tidak bertahan lama apabila si isteri mulai 'fed up' dengan situasi tersebut dan memfailkan perceraian pada 2020.
Dalam tuntutan harta sepencarian, ahli perniagaan itu dikatakan berjaya mengekalkan hak miliknya pada kebanyakan aset berharga. Sementara bekas isterinya hanya mendapat hak separuh untuk rumah yang mereka miliki bersama.
Mengetahui bekas suaminya mendapat banyak pemilikan aset berhaga seperti ladang minyak zaitun yang menguntungkan, kereta mewah dan hartanah lain, manakala dia pula tidak mempunyai apa-apa yang sepanjang 25 tahun bersama, wanita itu mengambil keputusan untuk memfailkan saman terhadap bekas suaminya untuk menuntut pampasannya pada Disember 2020.
"Dia seperti kebanyakan wanita lain, yang telah menghabiskan seluruh kehidupannya untuk anak-anak sementara suaminya mempunyai masa untuk mengembangkan kerjaya profesionalnya," kata peguam Marta Fuentes.
"Dan adalah penting bahawa perkara ini diiktiraf, masa yang mereka dedikasikan kepada keluarga mereka dan bukannya kehidupan profesional mereka sahaja yang mempunyai nilai," ujarnya.
Selepas melalui proses mahkamah dalam tempoh 18 bulan, hakim menetapkan wanita itu wajar diberikan pampasan sebanyak 204,000 euro (RM973,809) bagi 'kerja domestik' yang tidak dibayar semasa perkahwinannya selama 25 tahun.
Hakim turut memerintah ahli perniagaan itu membayar 1,000 euro (RM4,773) setiap bulanan kepada kedua-dua anak perempuannya dan pencen 500 euro (RM2,386) kepada bekas isterinya.
Ahli perniagaan itu dilaporkan tidak dapat menerima keputusan tersebut dan akan memfailkan rayuan.
Sumber: Oddity Central