'Humairah nak happy family, nak ibu & abah' - Nurul Shuhada menangis apabila anaknya berkata doanya masih belum dimakbulkan



"Permulaannya memang sangat indah, saya tak sangka begini kesudahan perkahwinan saya. Saya harap tiada yang bercerita kepada Humairah dan Umar nanti yang akan kecewa (dengan kejadian yang berlaku)," kata Nurul Shuhada dalam temubual bersama Melodi TV3 yang disiarkan Ahad, 17 Mac 2023. 


Menurut Shuhada, kedua-dua anaknya itu amat menyayangi bapa mereka, Hafidz Roshdi, dan sentiasa bertanya di mana keberadaannya. 


"Siapa yang tak nak keluarga bahagia. Humairah selalu bertanya kenapa Allah tidak memakbulkan lagi doa dia. Saya sebagai ibu pun bertanya Humairah nak Allah makbulkan doa apa. Humairah kata dia nak keluarga yang bahagia, nak ibu dan bapanya," kata Shuhada yang sebak ketika menceritakan semula kata-kata anaknya itu. 


Shuhada berharap, dua anaknya itu juga kuat, tabah dan redha seperti dirinya untuk menghadapi dugaan yang sedang berlaku. 


"Tiada sesiapa yang ingin jadi begini. Saya pun kena redha melalui ujian Allah, tak boleh lari pun," katanya. 


Ditanya apakah dia masih mempunyai rasa sayang terhadap Hafidz, Shuhada berkata bohong jika perasaan itu tiada dalam dirinya, lebih-lebih lagi Hafidz adalah bapa kepada dua anak mereka. Tetapi dia tiada pilihan dan perlu menerima ketentuanNya. 


Sebelum ini, Hafidz ada mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu berdamai dengan Shuhada dan menyelamatkan rumah tangga mereka. Bagi Shuhada, dia menyerahkan perkara itu 100 peratus kepada Allah.


"Saya betul-betul serahkan kepada Allah bulat-bulat. Saya tak pernah lagi marah, menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Hafidz. Cuma saya meminta Hafidz melepaskan saya dengan cara baik. Kita harapkan yang terbaiklah. 


"Tiada isu nak menang ke, megah-megah ke, tunjuk siapa yang ego, tiada. Ini hanya untuk maruah saya dan anak-anak," ujarnya. 


Dalam masa sama, Shuhada tidak menghalang Hafidz untuk bertemu dengan Humairah dan Umar dengan menghubungi ibu bapanya terlebih dahulu. Mahkamah juga tidak menghalang Hafidz untuk berbuat demikian.


"Masa kami masih bersama dulu, anak-anak memang selalu menunggu kepulangan Hafidz. Bila buka je pintu, 'Abah! Abah!'," katanya. 


Sumber: Melodi TV3