Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki membunuh rakannya berusia 26 tahun, dalam kejadian Rabu lalu, 15 Mac 2023, di Lombok Tengah, Indonesia.
Sebelum kejadian itu berlaku, suspek datang ke rumah mangsa dan kedatangannya disambut oleh kakak mangsa yang kemudian pergi ke dapur membuat air kopi untuk dihidangkan.
Di kesempatan itu, suspek terus masuk ke bilik dan menikam mangsa di bahagian leher. Tikaman itu mengejutkan mangsa dari tidur, terus menjerit sebelum senyap buat selama-lamanya.
Terdengar jeritan itu, si kakak terus berlari ke bilik dan mendapati adiknya berlumuran darah. Mangsa terus dikejarkan ke hospital, tetapi doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Lombok Tengah, Redho Rizki Pratama berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mengaku berbuat demikian kerana menyimpan dendam terhadap mangsa.
"Suspek melakukan jenayah itu kerana berdendam dengan mangsa yang pernah memberinya minum air yang diambil daripada bekas air mandian mayat, kira-kira enam tahun lalu," katanya.
Selepas minum air tersebut, suspek kerap mengalami sakit tekak. Selain itu, dia turut dibuli oleh mangsa dan rakan-rakan yang lain.
Suspek mendakwa, mangsa turut membuat rakaman video ketika dia minum air tersebut. Perbuatan mangsa itu membuatkan suspek berasa bengang dan mula menyimpan dendam terhadapnya.
Sumber: Kompas