Tindakan pemandu yang menyalahgunakan 'vest polis' milik saudaranya yang merupakan anggota polis untuk meletakkan kenderaan di laluan utama sehingga menyebabkan kesesakan jalan, mengundang padah apabila dia dikenakan tindakan saman.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di Persiaran Brash pada jam 6.29 petang, Sabtu lalu.
Difahamkan, kenderaan jenis Proton Saga adalah milik pegawai rendah polis yang bertugas di Batu Gajah. Dan semasa kejadian, kenderaan itu dipandu oleh saudara anggota berkenaan dan vest polis yang berada di papan pemuka (dashboard) adalah milik anggota terbabit.
"Sehubungan itu, pemandu kenderaan telah dikenakan saman di bawah Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan lalu lintas dan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah.
"Pemilik kenderaan itu juga disaman mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana membenarkan seseorang memandu kendedraan tanpa lesen," katanya.
Anggota itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Perak untuk siasatan dan tindakan tatatertib.
Yahaya menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya ynagg didapati melakukan kesalahan lalu lintas.
Sumber: Kosmo! Online