Bapa simbah anak dengan air panas sampai melecur sebab habiskan makanan di rumah


Kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam di Pulau Pinang Khamis lepas, bukan disebabkan dia mencuri wang tetapi kerana makanan habis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata berdasarkan siasatan polis, bapa kanak-kanak terbabit naik angin selepas mendapati makanan di rumah dihabiskan oleh empat anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun.

"Kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak menyimbah air panas kepada mangsa sehingga melecur tiga peratus di lengan, rusuk dan dada kanan," katanya di George Town hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar namun mendapati makanan yang disediakan isterinya yang berumur 38 tahun telah dihabiskan oleh anak-anaknya.

"Dia yang naik angin dan berang kerana lapar bertindak mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka. Suspek juga telah bertindak menyimbah semangkuk air panas yang diambil daripada mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa,” katanya.

Che Zaimani berkata tindakan lelaki itu disaksikan oleh isterinya namun wanita tersebut bukan setakat melihat dan tidak menghalang perbuatan suspek tetapi turut sama memarahi mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal mereka.
Katanya selepas kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit melarikan diri bersama anak bongsu mereka kerana bimbang ditahan polis.

"Anak sulung serta anak ketiga suspek kini berada bawah jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama. Polis kini giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Saga warna putih dengan nombor pendaftaran PCK 9818," katanya. - Bernama

(Video) Dah 30 tahun tak nampak, kini buaya muncul semula di Sungai Batu Pahat


Kemunculan seekor buaya di Sungai Batu Pahat mencetuskan kebimbangan warga penduduk sekitar kerana sungai itu sering menjadi lokasi memancing selain bakal menjadi pusat tumpuan penduduk setempat setelah taman rekreasi serta pusat gerai makanan yang sedang dibina di tebing sungai itu bakal siap menjelang pertengahan tahun ini. 

Video rakaman orang awam dari Jambatan Batu Pahat itu menunjukkan kelibat buaya berwarna kuning coklat dengan belang hitam dengan panjang anggaran tiga meter itu sedang berenang di bawah jambatan tersebut. 

Penduduk lama Batu Pahat, Mustapha Ismail berkata, sudah lebih 30 tahun tidak kelihatan dan ini kali pertama kelibat buaya muncul semula di sungai itu. 

"Dulu pada 1970-an dan 1980-an memang ada buaya di Sungai Batu Pahat dan ramai nelayan terserempak dengan buaya tetapi sudah lama tidak muncul. 

"Mulai akhir 1980-an kelibat buaya sudah tidak kelihatan lagi di Sungai Batu Pahat, namun kini ia muncul semula," katanya. 


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, Fauzi Mohd Nor berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai kehadiran buaya itu yang videonya viral di media sosial sejak tengah hari tadi. 

Namun beliau tidak menafikan bahawa anggotanya pernah ternampak kelibat buaya ketika melakukan pemantauan suatu ketika dulu. 

Fauzi bagaimanapun menasihatkan orang ramai berhati-hati dan tidak mengambil tindakan yang boleh menganggu haiwan tersebut kerana ia berada di habitatnya. 

Sumber: Harian Metro

Lelaki parah ditetak kerana berebut awek


Seorang lelaki parah ditetak dipercayai kerana berebut wanita dalam kejadian jam 8.30 malam di Bukit Belok, Bintangor, kelmarin. 

Mangsa yang berusia 37 tahun patah di kedua-dua belah tangan dan luka di lutut kaki kiri. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Meradong, Inspektor Ricky Tan berkata, sebelum kejadian itu berlaku mangsa sedang berbual dengan seorang wanita di dalam keretanya. 

Namun mereka tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang menarik mangsa keluar dari kereta dna terus ditetak beberapa kali dengan menggunakan parang pendek sebelum melarikan diri dengan kereta milik mangsa. 

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sarikei dan keadaannya kini dilaporkan stabil. 

Susulan kejadian itu, bapa saudara wanita terbabit membuat laporan polis dan kini pihak polis sedang berusaha mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri ke Sibu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 394 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro

Dari Selangor singgah Melaka untuk 'lepaskan rindu' sebelum balik Kelantan


Akibat ingin melepaskan rindu sebelum bertolak balik ke kampung halamannya, penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) bersama teman lelakinya dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sempena Ops Ambang Tahun Baharu, awal pagi hari ini.

Pasangan kekasih berusia 22 tahun itu, ditahan di hotel bajet di Batu Berendam, Melaka, pada 3.30 pagi.

Pasangannya yang bekerja kilang di daerah ini mendakwa, teman wanitanya itu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan dari Selangor, namun singgah di Melaka untuk bertemunya.

Bagaimanapun, mereka tidak menyangka tindakan mereka tinggal berdua-duaan di dalam bilik hotel berkenaan mengundang padah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, operasi itu diadakan bagi memastikan sambutan tahun baharu tidak dicemari kegiatan maksiat.


Beliau berkata, sebanyak enam hotel bajet diperiksa dan hasilnya enam individu ditahan selepas didapati tinggal berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram.

“Tiga pasangan yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 27 tahun, dan ketika pemeriksaan dilakukan mereka gagal menunjukkan dokumen sah mengatakan mereka adalah pasangan yang sah.

“Malah penguat kuasa mengambil masa kira-kira 30 minit mengetuk pintu didiami pelajar IPTA itu sebelum mereka memberikan kerjasama dan membukanya,” katanya.

Rahimin berkata, pasangan ini memberikan bermacam alasan antaranya cuma singgah sekejap, hanya tinggal sebilik tetapi tidak melakukan apa-apa untuk tidak diambil tindakan.

“Alasan itu hanya sia-sia kerana perbuatan bersekedudukan atau berkurung sehingga mendatangkan syak adalah suatu kesalahan.

“Kesemua mereka ini akan ditahan dalam tempoh 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua enam individu ini akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak. - Berita Harian

'Setiap hari adik ini akan lekat paip dan beg air kencing di badannya' - Hidap sakit buah pinggang sejak lahir


Sedih melihat kanak-kanak perempuan ini yang terpaksa menanggung derita penyakit buah pinggang sejak dari lahir lagi. Tidak diketahui di mana ibu bapanya tetapi menurut neneknya, dia akan menghantar cucunya ke hospital dua minggu sekali.

Jika anda berkemampuan, sudikanlah menghulurkan bantuan buat anak ini. Sedikit pun jadilah atau jika tidak berkemampuan, kongsikan perihal mengenai adik ini agar ada insan yang baik hatinya tampil bersama membantu anak ini.

ASSALAMUALAIKUM. Sebelumnya saya ingin meminta maaf kepada anda semua dan minta tolong luangkan masa sekejap untuk adik ini. 

Malam tadi saya terjumpa dengan adik ini di pasar malam Bandar Baru Ampang. First saya tengok, saya ingat adik ini selesema biasa sahaja dan saya agak meragui andaian saya. Jadi, saya pun rasa tak berpuas hati, lalu saya mengekori adik ini dari belakang. Rupanya adik ini sedang ikut nenek dia berniaga lemang di sini. 

Saya pun pergilah berjumpa dengan nenek adik ini dan bertanya kenapa dengan adik ini. Rupa-rupanya nenek dia beritahu adik ini ada sakit buah pinggang sejak dari lahir. Ya Allah, sebak hati saya apabila mendengar sakit yang adik ini tanggung. 

Setiap hari adik ini akan melekat paip dan beg air kencing ini di badan dia. Ya Allah, dari baby sampai sekarang berusia 4 tahun, adik Daniel ini tak ada apa perubahan lagi. Nenek dia kata, dua minggu sekali dia akan bawa Daniel pergi ke hospital. 


Ya Allah. Cuba korang bayangkan, budak kecil umur 4 tahun dah menderita sakit buah pinggang. Korang dapat bayangkan tak?

Tapi Alhamdulillah, Allah masih beri kekuatan kepada adik ini. Adik ini aktif je malam tadi saya tengok. Dia tak ada pun nak tunjukkan yang dia sakit. 

Dan kepada anda semua, yang ingin menyalurkan bantuan kepada adik Daniel ini boleh langsung datang ke pasar malam Bandar Baru Amapang ataupun PM saya. Dan kepada pihak-pihak tertentu, tolonglah tampil untuk meringankan beban keluarga adik Daniel ini. 



Niat saya kongsi cerita ini di Facebook bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak. Cuma malam tadi saya ada bertanya kepada nenek adik ini, ada tak adik Daniel menerima bantuan? Dia kata tak ada dan saya pun bertanya bagaimana jika saya usahakan bantuan untuk adik Daniel, boleh tak dia terima. Nenek itu kata, "Alhamdulillah dik kalau ada". Sedih mendengar jawapannya. 

Saya berharap adal pihak/individu yang tampil menghulurkan sedikit bantuan buat adik Daniel. Nenek dia ini, bila malam Jumaat berniaga lemang di pasar malam Bandar Baru Ampang. Dia seorang saja yang berniaga lemang di sini. 





Kepada sesiapa saja yang ingin menghulurkan bantuan, boleh saja terus datang ke pasar malam Bandar Baru Ampang pada hari Khamis, malam Jumaat ataupun boleh PM saya. Saya boleh tolong hantarkan untuk berjumpa dengan adik ini. 

Jom kita bersama-sama meringankan beban adik Daniel ini. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang lain pula tolong kita. Kalau kita mempermudahkan masalah orang, inshaAllah Allah akan mempermudhakan masalah kita juga. Aamiin, aamiin allahumma aamiin. 

Sumber: Mohd Khairol