Bapa belah perut bayinya nak keluarkan gas


Bayi yang baru berusia beberapa bulan berada dalam keadaan kritikal selepas ususnya terkeluar angkara tindakan bapanya yang memandai-mandai. 

Terdahulu, bapanya mengambil keputusan untuk membelah sedikit perut anaknya berhampiran pusat atas alasan mahu mengeluarkan 'gas' selepas mendapati pusat anaknya itu kembung. Lelaki itu percaya, lubang kecil itu akan mengeluarkan gas dari pusat bayi itu. 

Selepas membuat belahan kecil itu, bukan gas yang keluar tetapi usus mangsa mula keluar dari perut. Bapanya yang panik, terus membawa anaknya ke hospital. 

Sebaik saja tiba di hospital, lebih kurang 40-50 sentimeter usus mangsa sudah terkeluar dari perut dan badannya mula kehitaman. 

Mujur doktor berjaya menyelamatkan mangsa dalam pembedahan yang mengambil masa satu jam. 

Menurut Ketua Jabatan Pembedahan hospital itu berkata, itu merupakan kali pertama dia berdepan dengan kes seperti itu dan dia menyalahkan bapa mangsa memandai-mandai. Tambahnya, mujur bayi itu dapat diselamatkan sebelum terlambat. 

Menjelaskan mengenai pusat mangsa yang kembung itu, doktor berkata itu adalah masalah normal di kalangan bayi dan ia tidak berbahaya. Keadaan itu akan kembali seperti biasa apabila bayi itu meningkat dewasa. 

Doktor menasihatkan golongan ibu bapa di luar sana tidak mengambil tindakan sendiri terhadap anak kecil. Sebaiknya bawa mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. 

(Video) Pembantu rumah maut didera majikan kerana ambil makanan dari anaknya


Seorang pembantu rumah berusia 16 tahun mati akibat didera oleh majikannya yang tidak berhati perut, mencetuskan kemarahan orang ramai di Pakistan. 

Mangsa, Uzma Bibi, dipercayai kerap diseksa semenjak bekerja dan tinggal di rumah majikannya, lapan bulan lalu. 

Difahamkan, mangsa jarang diberi makan sehingga menyebabkan badannya kurus akibat kekurangan zat. Selain itu, Uzma kerap dibelasah sehingga mengalami keretakan tulang. 

Keadaan menjadi semakin buruk apabila majikan menghentak kepala Uzma dengan menggunakan objek tajam kerana berang mangsa mengambil sedikit makanan dari pinggan anaknya.


Akibat hentakan itu, Uzma tidak sedarkan diri. Majikan pula enggan menghantar gadis itu ke hospital, sebaliknya dia menggunakan renjatan elektrik untuk menghidupkan mangsa semula tetap gagal berbuat demikian. Mayatnya kemudian dibuang ke dalam longkang. 

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan tiga suspek wanita untuk membantu siasatan. 

Ketika disoal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan penderaan terhadap mangsa. 

Video yang menunjukkan Uzma dalam keadaan tidak bermaya dipaksa makan turut tersebar di media sosial. 


Netizen kini mendesak Perdana Menteri Imran Khan campur tangan dalam kes itu dan mendesak ketiga-tiga suspek dijatuhkan hukuman mati.

Sumber: Sinar Harian

'Dia akan kembali tidak lama lagi...' - Dah 10 tahun berlalu, anaknya masih tak muncul...


Baru-baru ini netizen di Thailand berkongsikan gambar seorang lelaki tua yang dipercayai gelandangan, telah menunggu 'seseorang' di tepi jalan sejak 10 tahun lalu. 

Menurut Poramet Misomphop yang ketika itu sedang menikmati sarapan pagi berkata, dia menyedari lelaki tua itu duduk di tepi jalan di sebatang jalan di Bangkok. 

Poramet kemudian bertanya kepada peniaga berhampiran dan dimaklumkan oleh seorang wanita bahawa lelaki itu selalu berada di jalan itu sejak 10 tahun lalu. 

"Saya masih ingat dalam kejadian 10 tahun lalu, seorang wanita memandu di jalan ini dan memberhentikan keretanya. Dia bawa orang tua itu keluar dan berkata sesuatu tetapi saya tidak dapat mendengarnya dengan begitu jelas. 

"Wanita itu kemudian beredar dan meninggalkan orang tua itu di situ. Masa itu saya tak terfikir apa-apa sehinggalah bila hari sudah semakin lewat, dia masih berada di situ. 

"Saya terus menghampirinya dan bertanya mengapa dia masih berada di situ. Dia memberitahu yang anak perempuannya berkata dia pergi bekerja dan terpaksa meninggalkan dia di situ. Namun akan kembali semula. 

"Bila keesokan pagi saya buka perniagaan saya, lelaki itu masih berada di situ. Kasihan, saya beri dia sedikit makanan untuknya," kata peniaga wanita terbabit. 

Sejak dari itu, dia sering memberi makanan kepada lelaki itu dan cuba bertanya tempat asal usulnya tetapi persoalan itu tidak dijawab. 



Selepas mendengar cerita itu, Poramet cuba mendekati lelaki itu dan mahu membantunya. Poramet bertanya beberapa soalan ringkas seperti nama dan alamat rumahnya, lelaki itu hanya berkata, 

"Dia akan kembali tidak lama lagi..." 

Poramet berkata, dia bersimpati dengan nasib lelaki tua itu dan berkongsi mengenainya di media sosial agar anak perempuan lelaki itu sedar bahawa bapanya masih menunggunya di tempat yang sama. 

Ada segelintir netizen berkata, anaknya mungkin terlibat dalam kemalangan dan tidak dapat menghubungi bapanya. 

Post Poramet itu viral di media sosial tetapi tidak dapat dipastikan sama ada anak perempuannya itu telah ditemui. 

Polis selamatkan kanak-kanak yang dilarikan individu yang baru dikenali ibunya


Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan telah dilarikan seorang lelaki dewasa, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari seorang wanita berusia 36 tahun yang memaklumkan anaknya telah dilarikan oleh lelaki yang baru dikenalinya dengan menaiki kereta Perodua Kancil. 

Sebelum itu, mangsa memaklumkan, dia dan anaknya yang berusia empat tahun berada di sebuah premis di Taman Rasah Jaya, Seremban, jam 11.45 pagi.

"Bertindak atas laporan diterima, polis memburu suspek berkenaan dan berjaya mengesannya di kawasan Bukit Mantin. 

"Suspek berusia 31 tahun ditahan bersama seorang wanita berusia 40 tahun dalam kenderaan berkenaan.

"Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan pada jam 2.20 petang tadi (semalam) dan dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk pmeriksaan kesihatan," katanya. 

Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah. 

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kanak-kanak itu dilarikan sama ada diupah, dendam atau perkara lain. 

Kedua-dua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro

(Video) 'Masa kena culik, kucing-kucing itu menjerit kesakitan' - 3 lelaki bersenjatakan parang rompak duit, 3 ekor kucing baka BSH & Persian


Viral di media sosial video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) 3 penjenayah bersenjatakan parang merompak sebuah kedai kucing.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.10 petang Rabu, di premis Nekocatrus, Taman Melawati, sejumlah wang tunai dan tiga ekor kucing baka British Shorthair dan Parsi telah dilarikan. 

Berdasarkan video kejadian, seorang kakitangan premis itu terdahulu cuba menahan pintu itu dari diceroboh tiga suspek memakai helmet bagi mengelakkan wajah mereka dicam oleh magsa. 

Malangnya, pintu itu dapat ditolak dan dua kakitangan premis itu terus berlari ke bahagian belakang bagi mengelakkan diri dari dicederakan oleh salah seorang suspek yang bersenjatakan parang. 



Suspek kemudian membuka laci mesin juruwang dan mengambil kesemua wang kertas yang ada, sementara dua lagi rakannya menangkap tiga ekor kucing itu secara paksaan lalu dimasukkan dalam beg. 

Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal. 



Menurut kakitangan Nekocatrus, Nadrah, yang berada di premis pada waktu kejadian itu berkata, ini merupakan kejadian yang pertama kali berlaku semenjak kedai itu beroperasi empat tahun lalu. 

"Sumpah traumatised. Dia acu parang suruh aku buka casher box. Then aku blah. Aku kesian kat kucing itu. Apalah nasib diorang. 

"Masa diorang kena culik, kucing itu menjerit kesakitan sebab kena paksa dan disumbat dalam beg. Dalam kepala masih terngiang-ngiang bunyi jeritan kucing itu," katanya. 



Nadrah juga menasihatkan orang ramai berhati-hati jika membeli kucing kerana dikhuatiri mungkin terbeli kucing yang dicuri. 

Laporan polis telah dibuat dan difahamkan pihak polis sedang giat mengesan suspek. 

Para pengusaha premis haiwan peliharaan juga dinasihatkan menggunakan sistem pintu bertutup automatik bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.