(Video) 'Bangang apa laki camni sampai anak menangis?!' - Suami pecahkan cermin kereta isteri, enggan peduli serpihan kaca terkena pada anak


Tular di media sosial tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta isterinya dengan kasar walaupun tahu anak mereka berada di tempat duduk penumpang hadapan. 


Tindakan kasar lelaki itu mengundang kemarahan netizen kerana bukan sahaja bertindak di luar batasan, malah sanggup mengabaikan keselamatan anak sendiri. 


Tidak diketahui punca sebenar kejadian, tetapi pengadu yang dikenali sebagai Amira Nabila menjelaskan, dia dan suami dalam proses perceraian dan sudah tidak tinggal bersama sejak April lalu. 


Menurut Amira lagi, kejadian itu berlaku pada pagi semalam ketika dia mahu keluar bekerja sebelum didatangi oleh suaminya yang menunggang motosikal. 


"Letih la, pagi-pagi aku kalut nak pergi kerja, celah-celah tu juga nak mai buat hal. Depan anak-anak juga nak tunjuk kelakuan (buruk). 


"Konon tu nak bagi duit dekat anak hang, ingatkan nak hulur beda beli susu, pampers anak. Sekali tu duit aku yang melayang. Family aku dah la tak hebat, tak pasal kena repair cermin kereta. Seratus dua pun main dengan family tak hebat ni nampak nilai tu besar. Boleh beli susu, pampers anak untuk stok dua minggu!" tulisnya di Facebook. 


Amira menegaskan, dia sengaja membuka cermin keretanya sedikit sahaja kerana sebelum ini lelaki berkenaan pernah melarikan dokumennya yang diletakkan dalam kereta. 


"Kalau buka tingkap full, memang kena jerat la macam sebelum ini yang dah terjadi. Lagipun aku berhati-hati kali ini sebab dia pernah ugut nak ambil kereta aku sebelum ni. Siap kata nak bakar lagi. 



"Dah berkali-kali juga dok berebut kunci kereta dengan aku, sampai angin tayar dibuang pun ada. Jadi, aku dah sampai tahap tak larat nak menghadap benda ni. 


"Aku jelaskan siap-siap sebelum ada orang lain putar belit cerita jadi lain dan kemudian tuduh aku putar belit cerita bagi mengeruhkan keadaan ke, apa ke. Aku ada video ini sebagai bukti. Post aku bukan nak provok sesiapa, cuma kalau rasa terprovok, check balik. Salah tetap salah," tulisnya. 



Sementara di media sosial, netizen mengecam tindakan si suami yang jelas sekali gagal mengawal diri dan tidak bertanggungjawab. Tindakannya itu bukan sahaja boleh mendatangkan kecederaan pada anak, juga boleh menyebabkan anaknya mengalami trauma. 


"Report polis! Sakit hati betul tengok lelaki macam ni. Anak tu kena kaca tau, biadab kau! Dunia kau lepas, akhirat nanti kau mendapat," kata Nurul. 


"Malunya kaum lelaki. Lagi malu sebab rupa tak ada. Perangai pun tak seberapa. Pendek kata pakej la duk kat abang ni. Perempuan kalau nak cari lelaki, kenallah lama-lama dulu, jangan orang duk kata tak laku terus nak pergi kahwin awal ke apa. Kahwin ini kadang ikut nasib juga, dapat yang perangai elok senang rumah tangga. Dapat perangai macam ni, serabut kepala," kata Shafiq. 


Sumber: Facebook Amira Nabila

'Kau dah kenapa sumbat 'burung' dalam tu?!' - Kemaluan lelaki tersekat selepas tergoda dengan soket paip PVC


Entah apa motifnya, namun perbuatan lelaki berusia 43 tahun ini menyumbat kemaluannya dalam soket paip PVC mengundang padah apabila dia terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam selepas gagal mengeluarkan kemaluannya itu.


Mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan itu terpaksa pergi ke Hospital Lawas untuk meminta bantuan. Pihak hospital bagaimanapun menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Lawas) kira-kira jam 7 pagi untuk meminta bantuan kepakaran.


Ketua BPP, Azman Ibrahim berkata, sebaik saja anggotanya tiba di hospital, pasukannya mendapati mangsa telah memasukkan soket PVC di kemaluannya sehingga tersekat dan tidak dapat dikeluarkan. 


Akibatnya, anggota bomba terpaksa memotong soket tersebut menggunakan peralatan memotong khas bagi menyelamatkan kemaluan mangsa. 


"Kami memotong soket paip terbabit menggunakan alat pemotong khas. Selepas hampir sejam, akhirnya soket paip terbabit dapat dipotong dan dikeluarkan daripada kemaluan mangsa," katanya. 


Sumber: Utusan Borneo, Harian Metro

Berang ditegur tonton video lucah punca suspek pukul mangsa, 10 pelajar terbabit dalam kes buli dibuang MRSM serta-merta


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid hari ini mendedahkan, siasatan pihaknya mendapati kes buli yang berlaku di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar baru-baru ini adalah berpunca dari tindakan mangsa menasihati salah seorang suspek berhenti menonton video lucah. 


Hasil siasatan itu katanya diperolehi daripada mangsa buli yang menjelaskan dia sebelum itu menegur salah seorang suspek untuk tidak meneruskan perbuatan yang tidak bermoral itu. 


"Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit. 


"Mangsa mengatakan, kalau tidak berhenti menonton video lucah, dia akan mengadu dengan guru atau warden. Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak untuk memukul atau membuli mangsa," katanya. 


Tindakan mangsa itu juga mengundang kemarahan enam suspek lain dan salah seorang pelajar Tingkatan 3 mengarahkan enam suspek terbabit menumbuk dan menendang mangsa. 


Sehari selepas kejadian buli itu, kesemua pelajar diarahkan pulang ke kediaman masing-masing pada 10 Disember kerana cuti semester. 


Setakat ini, 10 suspek yang dipercayai terbabit dengan kes buli termasuk pelajar yang bersubahat telah ditangkap sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 


Selain itu, sebanyak 11 buah telefon bimbit telah dirampas dan akan dihantar ke forensik untuk diperiksa kandungannya. 


Polis akan merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik saja semua siasatan selesai dilakukan. 


Ketika ini, mangsa masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor kerana mengalami kecederaan tisu lembut akibat dari dipukul suspek. Mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius. 


Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf memaklumkan, 10 pelajar yang terbabit dalam kes buli itu ditamatkan pengajian serta-merta berkuatkuasa hari ini. 


Mara katanya, amat memandang serius kegiatan buli yang berlaku dan hukuman itu diambil menunjukkan bahawa pihaknya sangat tegas dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang membabitkan pelajarnya. 


"Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM. Ibu bapa pelajar berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan dibuat jawatankuasa," katanya. 


Sumber: Harian Metro

'Bila dibakar, objek itu meleleh & keluar bau wangi' - Wanita temui sisa muntah ikan paus, bakal jadi jutawan


Awalnya objek yang ditemui disangka sampah, sehinggalah dimaklumkan objek tersebut berkemungkinan besar adalah sisa muntah ikan paus, mendorong wanita berusia 41 tahun ini mahu menjalankan ujian terhadap objek tersebut bagi memastikan ketulenannya. 


Aida Zurina Long berkata, objek ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus itu ditemui ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada hujung November lalu. 


"Saya pada mulanya ingat benda itu sampah, tapi sangat terkejut apabila diberitahu ayah ia adalah muntah ikan paus. 


"Saya temui objek itu terapung kira-kira jam 11 malam. Saya tarik benda itu dengan kayu dan menariknya ke tepi tebing. Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu, benda itu masih ada sebelum saya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah," katanya. 


Sebaik saja menunjukkan objek itu kepada bapanya yang merupakan seorang nelayan, dia diberitahu objek itu adalah muntah ikan paus. 


"Saya sangat terkejut kerana ayah mendakwa objek yang saya jumpa itu jarang ditemui di negara kita. Ayah cuba membakar sedikit objek itu dan benda itu meleleh seperti lilin serta mengeluarkan bau yang wangi," katanya. 


Aida kemudian membuat rujukan di internet dan mendapati objek yang ditemui itu berkemungkinan adalah muntah ikan paus yang mempunyai nilai tinggi. 


"Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menjalankan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap benda yang saya temui ini. Saya tahu kos untuk menjalankan ujian makmal adalah tinggi dan saya sanggup bekerjasama demi mengesahkan ketulenannya," katanya yang juga menjelaskan dia tidak pernah tahu muntah ikan paus adalah benda yang dicari oleh syarikat perusahaan minyak wangi. 


Sumber: Harian Metro

Doktor buat lebih 37,000 pembedahan plastik percuma untuk bantu bayi/kanak-kanak alami masalah bibir sumbing


Seorang pakar bedah plastik India dipuji sebagai wira selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk melakukan lebih 37,000 prosedur pembedahan percuma untuk memperbetulkan sumbing lelangit dan bibir sumbing kanak-kanak. 


Bibir sumbing atau sumbing lelangit adalah kecacatan kelahiran yang berlaku apabila bibir atau mulut bayi tidak terbentuk dengan betul semasa kehamilan. Kecacatan ini boleh mendatangkan banyak masalah seperti hilang keupayaan untuk mendapatkan susu dengan baik semasa bayi, mangsa buli dan diskriminasi di kemudian hari. 


Bagaimanapun, kecacatan kelahiran ini boleh ditangani dengan bantuan pembedahan plastik. Namun, prosedur ini kebiasaannya menelan kos yang mahal dan keluarga miskin tidak mampu menanggung kos pembedahan. 


Di India, seorang pakar bedah plastik tampil menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada puluhan ribu bayi dan kanak-kanak dengan harapan dapat memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. 


Dilahirkan dalam keluarga sederhana di Varanasi, Uttar Pradesh, India, Dr. Subodh Kumar Singh juga melalui zaman kanak-kanak yang sukar, yang memberi inspirasi kepadanya untuk mendedikasikan kejayaannya dengan membantu golongan yang memerlukan, bukannya hanya sekadar mencari keuntungan semata-mata. 


Selepas kehilangan bapanya ketika di usia 13 tahun, Subodh dan tiga abangnya terpaksa menyara keluarga dengan menjual lilin, sabun dan cermin mata buatan sendiri. 


Bagi memastikan Subodh dapat melanjutkan pelajaran dan memenuhi impiannya menjadi doktor, adik-beradiknya sanggup berhenti sekolah. Walaupun adakalanya dia turut membantu menyara keluarga, Subodh berjaya menghabiskan pengajiannya di Institut Sains Perubatan dan kini menjadi pakar pembedahan plastik. 


"Menjadi seorang doktor meletakkan saya dalam kedudukan untuk membantu orang ramai. Saya mahu menjadikan kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya," katanya. 


Menyedari bahawa ramai bayi dan kanak-kanak dlahirkan dengan bibir sumbing memerlukan bantuan, Subodh mula menganjurkan kempen perubatan percuma dan membantu seramai mungkin pesakit. Usahanya itu kemudian disedari oleh Smile Train, sebuah inisiatif global yang memfokuskan pembedahan bibir sumbing. Dengan sokongan daripada mereka dan NGO lain, Subodh dapat membantu lebih ramai orang. 


"Bayi yang mengalami masalah bibir sumbing sukar minum susu, ramai yang mati akibat kekurangan zat makanan, selain mengalami pertumbuhan terbantut. Kanak-kanak juga sukar menggunakan lidah untuk bercakap yang menyebabkan masalah pertuturan. 


"Tidak kurang juga ada kanak-kanak yang berhenti sekolah kerana dibuli atau diejak rakan sebaya. Mereka juga sukar mencari pekerjaan. Dalam hal ini, si ibu yang paling banyak disalahkan, dikutuk dan ditinggalkan semua kerana mengandung anak berbibir sumbing. Ini juga memberi kesan psikologi kepada ibu bapa. Tetapi, dengan pembedahan plastik, semua masalah ini boleh selesai.


"Saya berasa bangga kerana mempunyai kemahiran untuk mengubah kehidupan orang ramai. Tiada apa yang lebih menggembirakan saya daripada menyatukan semula keluarga yang menerima menantu perempuan mereka selepas pembedahan dan tidak menyalahkan kecacatan itu," katanya. 


Sumber: Oddity Central