Acara Thai Hot Guy dibatalkan, Privacy Club Tun Razak mohon maaf & kesal poster disebarkan tanpa pesetujuan pihaknya



Penganjur acara pembukaan sebuah kelab malam yang menampilkan Thai Hot Guy dijadual berlangsung pada 30 Mac ini telahpun dibatalkan. 


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penganjur acara itu telah diberi amaran keras untuk tidak menerus atau membatalkan terus acara tersebut kerana ia menyentuh sensitiviti agama, mengganggu ketenteraman masyarakat dan mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang bermula Khamis ini. 


Mengambil kira dengan aduan ramai dan amaran keras dari pihak berkuasa, Privacy Club Tun Razak akur dan membatalkan acara tersebut bagi menghormati sensitiviti agama dan tidak mahu melanggar undang-undang. 


"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang beraku dan berdasarkan atas dasar menghormati sensitiviti kaum dan agama, program tersebut telah dibatalkan," katanya. 


Dalam masa sama, Privacy menjelaskan bukan pihaknya yang menyebarkan poster acara tersebut tetapi ada indivdu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan video itu tanpa meminta persetujuan mereka. 


Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wilson Ugak Kumbong berkata, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang penganjuran program yang tidak bermoral.


"Kerajaan kita tidak ada program-program seperti yang dikatakan tadi dan kerajaan tidak akan meneruskan program yang tidak sihat itu," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini

'Tengah berceramah, tiba-tiba Ustaz Azhar Idrus pandang ke atas'



Tular baru-baru ni penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dimasukkan ke hospital kerana dikatakan mengalami masalah paru-paru berair, jangkitan kuman di paru-paru dan jantung bengkak. 


Penceramah yang terkenal dengan lawak jenakanya itu sekali lagi menjadi tular apabila satu video di TikTok menunjukkan Ustaz Azhar Idrus tiba-tiba memandang ke atas ketika sedang berceramah. Jelas juga kelihatan perubahan wajahnya. Ceramah yang disampaikan pada malam itu di Masjid Kampung Kuala Bekah, Terengganu adalah mengenai Sifat-Sifat Allah. 


Menurut individu yang berkongsikan video ini, dia mengatakan dia turut hadir pada majlis berkenaan dan mendongak ke atas,  tetapi jelasnya tiada apa yang dilihatnya.


“Saya ada di masjid masa ni. Terkejut jugak tengok UAI tengok atas macam tu. Saya tengok jugak, tapi tak ada apa-apa pun,” katanya.


@happysokm0o

UAI tengok ape kat atas tu semasa ceramah kat masjid??🤔 mcm tengok kelibat bende je..

♬ bunyi asal - HappySokm0o


Berikutan itu, ramai netizen mendoakan agar UAI dipanjangkan umurnya dan dipermudahkan segala urusan. Difahamkan juga, ada yang mengatakan selepas sesi ceramah itu, UAI dimasukkan ke dalam hospital.


Walau apa pun jua pandangan, kita perlu mengambilnya secara positif dan mendoakan dengan sebaik-baiknya.


Sumber: TikTok HappySokmoo

KKM kesan 6 produk kosmetik mengandungi racun berjadual yang boleh jejaskan buah pinggang, sistem saraf & otak



Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi enam produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk berkenaan ialah Flashhskinzz Moist Sunscreen, Serene Treatment Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin dan Karisma Preventing Day Cream, yang masing-masing mengandungi merkuri.


Selain itu, dua lagi produk kosmetik yang terlibat ialah SL Two Kunyit yang mengandungi merkuri dan Betamethasone 17- Valerate dan SL Two Sarang Burung(Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate).




Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau janin.


Bagi produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate, Dr Noor Hisham berkata produk itu ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.


"Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, hydroquinoneboleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.


Selain itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.


Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat, katanya.









Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.


Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.


"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.


Dr Noor Hisham menyarankan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.


Sumber: Bernama

Ibu bapa semua diminta bertenang, Menteri KPM beri jaminan akan kembalikan 'sesi persekolahan bermula Januari'



Golongan ibu bapa diminta bertenang seketika dan memberi masa kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menetapkan sesi persekolahan bermula daripada bulan Januari, seperti sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19. 


Menteri KPM, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa aspek, antaranya jadual peperiksaan pelajar selaras dengan Akta Pendidikan 1996. 


"Kita perlu mematuhi Akta Pendidikan 1996 iaitu kanak-kanak perlu bersekolah 190 hari. Kita juga perlu pastikan beberapa episod peperiksaan tak mengganggu persekitaran. 


InshaAllah akan kembali ke Januari. Kita faham sentimen ibu bapa semangat mereka serta akan pergi ke arah itu (sesi persekolahan Januari). 


"InshaAllah, jadi beri ruang sedikit untuk menuju kembali ke arah itu bagi memudahkan semua," katanya. 


Semalam, KPM dilaporkan sedang meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini. 


Menurut Fadhlina, perkara itu masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan berikutan faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun serta jadual peperiksaan SPM, STPM dan STAM, yang perlu diambil kira. 


Sumber: Harian Metro

Pengguna lebuhraya boleh bayar tol guna kad debit, kredit mulai September ini



Beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.


"Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini ialah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan," katanya dalam catatan di Facebook hari ini.


Nanta berkata, pembuktian konsep (POC) MLFF akan dijalankan sebelum akhir Oktober ini dan lokasi terlibat sedang dalam rundingan, sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya.


Beliau berkata, pelaksanaan sepenuhnya MLFF akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.


Nanta menjelaskan melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol untuk semua lebuh raya di Malaysia, dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-dompet turut serta, seterusnya tiada lagi monopoli oleh Touch N Go.


"Persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri, yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol, sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka.


"Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua, terutama rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini," katanya.


Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda 'Temu Anwar' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan, kerajaan akan mempertimbang semula monopoli Touch N Go dalam pengangkutan dan jalan raya.


Sumber: Bernama