Menurut portal berita Al Jazeera, kedua-dua negara tersebut mencapai kata sepakat selepas hampir 10 bulan mengadakan rundingan dan perjanjian tersebut ditandatangani dalam satu majlis di sini.
Israel telah lama menjadi penerima utama bantuan daripada AS, kebanyakannya dalam bentuk bantuan ketenteraan untuk melancarkan serangan terhadap wilayah Palestin.
AS dan Israel tidak mendedahkan jumlah sebenar bantuan tersebut namun menurut pakar, bantuan di bawah perjanjian selama sepuluh tahun itu dianggarkan berjumlah hampir AS$38 bilion (RM157 bilion) setahun.
Perjanjian tersebut turut melibatkan konsesi utama oleh Israel yang tidak lagi berpeluang untuk mendapatkan dana tahunan tambahan melebihi pakej baharu yang ditawarkan oleh AS itu.
Menurut Associated Press, perjanjian itu juga membiayai program pertahanan peluru berpandu kali pertama selepas AS meluluskan dana untuk program pertahanan peluru berpandu secara berasingan pada setiap tahun melalui perjanjian lalu.
Perjanjian itu dibuat ketika Presiden AS, Barack Obama meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Israel membina rumah di kawasan penempatan penduduk Palestin.
Washington sebelum ini memberi amaran bahawa dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu boleh mengganggu perjanjian damai yang diusahakan sebelum ini.
Sumber: Utusan Malaysia