Luruh Habis!

Isabella (gambar kecil) bersama Rhea

BOSTON - Burung Kakak Tua betina ini diserang oleh  sejenis virus yang menyebabkan ia kehilangan bulu 100%, menimbulkan rasa simpati netizen, lapor Caters News Agency.

Burung yang diberi nama sebagai Rhea ini, menghidap penyakit burung (Psittacine Beak and Feather Disease) yang menyebabkan bulunya luruh secara total. 


Rhea diselamatkan pada Julai lalu oleh sebuah klinik veterinar di Boston, Massachusetts dan kini dijadikan sebagai haiwan peliharaan Isabella Eisenmann, yang juga mewujudkan akaun Instagram untuk Rhea yang digayakannya seperti selebriti. 

Isabella, 23, Pereka Grafik, berkata, "Pada mulanya, saya menerima banyak komen negatif mengenai keadaan fizikal Rhea. Namun saya tak peduli dan hanya mahu orang faham bahawa memiliki kelainan itu adalah cantik. 

"Saya benar-benar mahu orang belajar untuk menerima Rhea dan paling utama saya mahu mereka yang merasakan diri berlainan dari orang lain dapat menerima diri mereka yang sebenar seperti Rhea yang menyayangi dirinya sendiri," katanya. 






Isabella turut membuat pakaian untuk Rhea untuk memanaskan badannya memandangkan burung berkenaan tidak berupaya lagi memanaskan badannya sendiri. Malah, Isabella turut memastikan suhu di kediamannya tidak terlalu sejuk untuk Rhea. Setiap malam, sangkar Rhea wajib ditutup dengan selimut agar tidak kesejukan. 

Menurut Isabella, tiada ubat untuk merawat penyakit Rhea. Dia hanya mampu membela dna memberikan yang terbaik untuk Rhea agar sentiasa berasa selesa di bawah jagaannya. - The Reporter