(Video) Menangis Bila Dapat Tahu Kakak Kembarnya Tua Seminit


NEW JERSEY - Salah seorang anak kembar perempuan ini, menangis apabila mendapat tahu bahawa kembarnya tua seminit dari dirinya, lapor Daily Mail. 

Video Ava dan Alexis McClure trending di laman YouTube dan ramai netizen yang memuji kecomelan si kembar ini. 

Dalam video tersebut, ibu mereka bertanya apakah mereka tahu yang diri mereka adalah adik beradik kembar. Mereka tahu akan perkara itu tetapi tidak dapat menjelaskan maksudnya secara terperinci. 

Bagaimanapun Ava menjelaskan bahawa dia dan Alexis berkongsi tarikh lahir yang sama. 

Ibu mereka, Ami, juga menjelaskan bahawa mereka dua beradik mempunyai wajah yang sama dan menyuruh dua beradik itu memerhatikan wajah masing-masing. 

"Di antara kamu berdua, siapa yang lebih tua?" soal Ami. 

Soalan itu membuatkan kedua-dua kembar berkenaan mengaku masing-masing lebih tua. Bagaimanapun Ami memaklumkan bahawa Alexis lebih tua dari Ava, dengan jarak kelahiran seminit. 

Penjelasan Ami itu membuatkan Ava sedih dan menangis kerana dia mahu menjadi 'kakak'. Namun, Ami berkata dia tidak dapat 'menunaikan' permintaan Ava kerana perkara itu sudah pun berlaku. 

Alexis pula cuba memujuk adiknya, namun Ava enggan mengendahkannya meskipun Alexis mahu memeluknya. 

Bagaimanapun, kesedihan Ava itu berakhir apabila dia mendapat tahu bahawa dirinya lebih tinggi dari Alexis. 


Malangnya, perkara itu membuatkan Alexis pula sedih dan mula menangis kerana dia juga mahu menjadi tinggi seperti adiknya. 

"Tak perlu menangis, kamu berdua mempunyai saiz yang sama. Cuma Ava lebih tinggi sedikit kerana dia lebih cepat membesar," kata Ami. - The Reporter