Padah Fitnah Doktor Tidur & Makan Gaji Buta, Lelaki Ini Bakal Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Gambar kanan, status yang dimuat naik oleh Yus Abd Mutalib yang didakwa sebagai fitnah oleh doktor berkenaan.

JERANTUT - Baru setengah jam menunggu giliran rawatan di Klinik Kesihatan Damak, dikatanya telah menunggu sejam dan mendakwa doktor yang bertugas sedang tidur dan makan gaji buta. 

Status fitnah itu dimuat naik di laman sosial oleh individu bernama Yus Abd Mutalib. Disokong pula beberapa kenalannya yang menyimbah petrol ke dalam api bagi membarakan lagi perbualan amarah mereka. 

Bagaimanapun, isteri kepada doktor berkenaan, Siti Solehah, memaklumkan suaminya telah membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan yang terang-terang telah memfitnahnya di laman sosial. 

"Laporan polis dan tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas Encik Yus. 

"Kalau cerita itu betul, tak apa. Tetapi kalau fitnah dan tak betul, terpaksalah saya balas balik viral Encik Yus demi menjaga kredibiliti suami dan keluarga saya," kata Siti. 

Menurut Siti, suaminya perlu membuat rawatan pada pesakit di seluruh kawasan Damak dengan purata pesakit lebih kurang 100 orang sehari berikutan seorang doktor yang lain sedang cuti bersalin selama tiga bulan. 

"Suami saya juga terpaksa standby setiap malam selama tiga bulan siang dan malam untuk menerima panggilan kes-kes kecemasan dari MA. 

"Encik Yus yang kononnya demam hanya menunggu selama sejam tetapi sudah panas punggung dan tak sabar nak berjumpa doktor. Tetapi dalam rekod, dia tiba di klinik jam 10.40 pagi dan memuat naik status pada jam 11.11 pagi. Baru tunggu selama 30 minit. Di mana datangnya kenyataan menunggu selama sejam?" soalnya. 

Dalam status tersebut, Siti juga menafikan dakwaan lelaki itu kononnya suaminya tidur, sedangkan suaminya baru selesai menjalankan ultrasound pada seorang ibu mengandung di bilik scan dan menunggu pesakit lain untuk masuk ke dalam bilik sambil menyemak buku pesakit antenatal yang datang sebelumnya. 

Siti menyifatkan lelaki itu manja dan berat mulut untuk bertanya pada kakitangan yang bertugas. Malah, bukan lelaki itu saja yang terpaksa menunggu lama, ada lagi pesakit yang lain juga terpaksa menunggu lama. 

Justeru Siti menasihatkan orang ramai agar tidak berprasangka buruk apabila ingin mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. 

Laporan polis yang dibuat oleh doktor yang menjadi mangsa fitnah di media sosial
"Kadang-kadang doktor tiada di dalam biliknya kerana sedang menyambut bayi lahir di bangunan sebelah atau berada di dalam bilik scan, kecemasan dan juga menghantar pesakit ke hospital menaiki ambulans. 

"Janganlah sombong sangat sampai tak bertanya lalu menuduh doktor tersebut mengular atau berehat semata-mata di media sosial untuk mendapat like," katanya. - The Reporter