Kebelakangan ini banyak kisah negatif mengenai keburukan tinggal di rumah mertua. Namun, harus diingatkan bukan semuanya begitu. Ada juga kisah-kisah manis di antara mertua dan menantu sebenarnya.
Walau bagaimanapun, pernahkah anda terfikir cara untuk menyelesaikan ketidaksefahaman yang timbul di antara pasangan anda dengan ibu anda atau sebaliknya? Lelaki ini kongsi tips bagaimanapun menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang baik dan sudah tentunya berlaku adil terhadap kedua-dua belah pihak.
Semoga bermanfaat.
Dari Kisah Rumah Tangga
KEHIDUPAN TINGGAL DI RUMAH MAK AYAH
Saya seorang lelaki, mempunyai seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 4 tahun. Usia perkahwinan 7 tahun.
Awal perkahwinan, saya bekerja di daerah lain. Saya dan isteri tinggal di rumah sewa. Pada tahun kedua perkahwinan, saya dipindahkan kerja di daerah tempat asal saya. Isteri saya mengikuti saya tinggal dengan mak ayah saya, walaupun masa itu saya sudah membeli rumah. Sebabnya, atas permintaan mak ayah saya kerana rumah mak ayah saya cukup besar, banyak bilik dan tempat kerja saya pun lebih dekat dengan rumah mak berbanding rumah yang saya dah beli itu (saya jenis tengah hari balik rumah untuk makan sebab nak jenguk isteri dan lebih suka makanan isteri, di samping jimatkan kos).
Dalam rumah, selain mak ayah, ada seorang adik lelaki bujang dan dua orang adik perempuan bujang saya tinggal sekali. Kami semua masing-masing ada bilik sendiri. Mula-mula itu biasalah isteri saya kejap terasa itu kejap terasa ini, makan hati itu makan hati ini. Tapi saya mainkan peranan seadilnya. Mak dan isteri saya pun sama-sama surirumah. Mak saya jenis rajin buat kerja rumah dan rajin masak, dan sangat teliti. Isteri pula jenis santai, dan baru-baru belajar nak masak dan buat kerja-kerja rumah. Jadi korang boleh bayanglah macam mana kan, apa yang boleh mencetus sakit hati.
Tetapi apa sahaja yang saling tak puas hati itu, saya tak fikir panjang terus sahaja aturkan sesi luahan hati ke hati antara isteri dengan mak saya. Bagi ruang sepenuhnya untuk kedua-dua belah pihak bersuara dan mendengar.
Kalau isteri ada tak puas hati, saya akan tanya dia balik suruh fikir, salah ke apa yang mak buat itu? Ada mudharat ke? Tak bagus ke? Dari sudut agama pula agaknya macam mana? Begitu juga dengan mak, saya cakap baik-baik, salah ke yang isteri saya buat itu? Apa yang tak patutnya? Dari masa ke semasa bapa saya juga akan join sesi pertemuan dan berikan nasihat, pendapat. Bila kedua-dua pihak menilai tanpa emosi, akhirnya sama-sama boleh memahami dan menerima, sama-sama boleh sepakat.
Saya perasan ada satu hal di mana mak dan isteri saya sangat serasi dan saling melengkapi iaitu suka bercerita. Apa-apa topik, gosip-gosip, hal-hal semasa, hal-hal family mereka suka sembang. Jadi, mereka bersama-sama di dapur atau lipat kain depan tv, masa itulah mereka gunakan kesempatan untuk bersembang-sembang.
Alhamdulillah setelah dua tahun duduk serumah, isteri sudah selesa di rumah mak saya, dah natural. Di mana mak saya letak barang, isteri lebih tahu dari saya. Pokok bunga mana nak siram tiap hari dan mana yang selang sehari, isteri lebih tahu dari saya. Malah kalau mak ayah saya bercuti atau balik kampung perlu tinggalkan rumah beberapa hari, isteri sayalah yang diamanahkan untuk menjaga rumah dan adik-adik saya. Adik-adik saya mesti patuh pada isteri saya. Isteri saya akan ambil alih peranan mak saya mentadbir urus rumah.
Cuma, memang betul tak boleh selama-selamanya nak duduk dengan mak ayah. Sampai masanya kena tinggal sendiri juga, kena belajar hidup berdikari.
Selepas 5 tahun, akhirnya saya bawa isteri tinggal di rumah sendiri. Dan hikmah kami lima tahun tinggal dengan mak ayah saya, isteri saya "terlatih" menjadi sangat cekap menguruskan rumah dan keluarga. Mak mertua saya pun perasan perubahan positif isteri saya. Selain itu, tempoh lima tahun itu cukup untuk saya lengkapkan rumah kami secara beransur-ansur. Mulanya kosong, tambah perabot, tambah hiasan. Sekarang dah cantik dan lengkap. Alhamdulillah.
Pun begitu, ada masa-masanya isteri rindu juga nak bermalam di rumah mak ayah saya. Saya tak perlu ajak pun, dia sendiri yang akan mengajak. Dan pernah juga isteri saya cadangkan,
"Baik teruskan tinggal dengan mak je lah, rumah kita buat bisnes homestay. Boleh tambah pendapatan."
Ikutkan hati, saya lebih suka idea isteri saya itu. Lebih-lebih lagi rumah kami lebih jauh dari tempat kerja, jalan pun jem teruk. Lepas itu dia boleh teruskan bantu mak saya di rumah, saya pula boleh bantu ayah saya untuk hal-hal luar rumah. Cuma saya yang tak turutkan kerana merasakan sudah sampai masa untuk tinggal di rumah sendiri, di samping ingin memberi ruang kepada masa depan adik-adik saya kerana satu hari nanti mereka juga akan berkahwin.
Kesimpulannya, saya nak kongsikan ialah, rahsia menantu perempuan boleh duduk aman sebumbung dengan mertua ini:
- Peranan suami/anak lelaki sebagai penghubung/pengaman. Suami jangan biarkan isteri bersendirian belajar menyesuaikan diri. Bimbing dia, jangan serah sepenuhnya pada mak untuk ajar isteri. Dengar semua luahan isteri dan mak, analisa ia dan fikirkan penyelesaian.
- Elakkan bersangka buruk. Salah satu penyebab ketidak serasian ialah perempuan cenderung sangka yang buruk-buruk kalau mertua/menantu berkata/berbuat sesuatu yang tidak kena dengan hati. Minta suami jelaskan, dan fikir mana betul mana salah.
- Mak mertua bukan malaikat yang sentiasa bebas dari masalah dan tekanan. Mereka tak boleh senyum manis sepanjang masa. Dan menantu sila faham, bila mertua bermasam muka bukan semestinya berpunca dari menantu. Mungkin dia cuma merajuk dengan bapa mertua sebab tak nak belikan baju baru.
- Menantu sila sentiasa berfikir seperti ini: "Kalaulah mak aku sendiri yang akan buat macam ni, apakah yang akan aku lakukan sebagai anak soleh?" Ya, memang mak sendiri tak sama. Tapi amalkan sahaja soalan ini tiap hari. Untuk ingatkan diri.
- Sabar, sabar dan sabar. Tabah, tabah dan tabah. Ikhlas, ikhlas dan ikhlas. Insha Allah, Allah akan bantu hambaNya yang ikhlas.
Sumber : Gengviral