Berang selalu disindir ada hubungan sulit, kerani kolej ditikam dan dicekik sampai mati


Berang selalu disindir ada hubungan sulit dengan kakitangan lain, seorang lelaki bertindak menikam dan mencekik kerani wanita sehingga hilang nyawa, lapor Harian Metro

Dalam kejadian jam 2 petang di sebuah kolej kemahiran di Banting, mayat mangssa Zaimah Mahmod, 57, ditemui dalam stor pejabat kolej tersebut akibat ditikam dengan pisau oleh suspek berumur 28 tahun yang juga pembantu makmal. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada suspek yang mengaku telah membunuh wanita itu. 

Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, suspek ditemui duduk dalam keadaan tenang di samping mayat mangsa. 

"Ketika menghubungi polis pada jam 2.40 petang, lelaki itu (suspek) turut memberitahu sudah menikam dan mencekik wanita berkenaan sehingga mati. 

"Hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian. Beberapa kesan tikaman turut ditemui di leher dan badan wanita itu, selain pisau yang digunakan suspek untuk membunuh," katanya. 

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai berdendam dengan mangsa yang sering kali menyindirnya mempunyai hubungan sulit dengan seorang kakitangan. 

"Mangsa yang juga ibu tunggal dikatakan kerap menyindir suspek mempunyai hubungan sulit dengan seorang kakitangan di sekolah berkenaan," katanya. 


Difahamkan, suspek baru tiga bulan bertugas di sekolah itu juga menjalani rawatan kemurungan di hospital dan dilaporkan pernah melakukan cubaan membunuh diri. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat. Suspek ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.